
GAMBAR HIASAN
ALOR SETAR 21 Feb. - Sebanyak 22 buah sekolah di negeri ini hari ini diumumkan berjaya mencapai kelulusan penuh 100 peratus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010.
Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad berkata, antara sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, SMK Jitra, SMK Kulim, SMK Yan dan lain-lain lagi.
"Sebanyak sembilan buah sekolah telah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 2.67 dan ke atas serta pencapaian minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) bagi negeri Kedah ialah 2.31 daripada 3,316 bilangan calon yang hadir.
"Sekolah tersebut ialah SMK Sultanah Bahiyah, SMJK Sin Min, SMJK Keat Hwa, SMK Yan, SMK Agama Kedah, SMK Labu Besar, SMK Ibrahim, SMK Tun Sharifah Rodziah dan SMK Padang Serai," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, pada 2010 seramai 3,830 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM dan jumlah calon yang hadir untuk mengambil peperiksaan ialah 3,609 orang.
"Seramai 3,410 ialah calon sekolah kerajaan, 76 orang calon sekolah swasta dan 344 orang ialah calon persendirian.
"Pada 2010 juga peratus calon yang mendapat lulus penuh ialah 95.3 peratus berbanding 94.87 peratus pada 2009," katanya.
Tambah Abdullah, seramai 27 calon yang menduduki STPM berjaya memperoleh PNGK 4.00 dan tujuh mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Matematik, Bahasa Tamil, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Kimia dan Sains Sukan telah mencatatkan peningkatan.
No comments:
Post a Comment