Saturday, March 12, 2011

Antara "PAS Kalah"..& "Belum Menang"..!!

Mengapa PAS Kalah?

PAS kalah kerana pemimpin PAS masih belum memahami hakikat perjuangan PAS dan tidak menghayatinya. Mereka tidak berpijak di bumi nyata. Mereka bukan menjadi pemimpin di bumi. Mereka memimpin di awang-awangan. Terlalu idealistik.

Ringkasnya, PAS kalah kerana pemimpina PAS tidak tahu menghayati kekalahan dan tidak tahu kerja sebenar, tugas hakiki PAS. Inilah padangan saya buat pemimpin PAS yang sebegitu.

SATU – MENIKMATI KEKALAHAN

Suatu benda boleh dikatakan besar atau kecil jika dipandang dari sudut yang berlainan. Sepinggan nasi boleh mengenyangkan dan sebaliknya jika dimakan pada waktu yang berbeza. Demikianlah persepsi sama ada PAS ‘kalah’ atau ‘belum menang’ apabila ‘kalah’ dalam PRK atau PRU.

Itu saya faham. Namun untuk menafikan kekalahan PAS dengan ungkapan ‘belum menang’, dengan tujuan yang tidak pasti adalah tidak bijak. Lebih baik kita merasai kekalahan dan menikmatinya daripada kita tidak menerima hakikat kekalahan dengan gula-gula belum menang.

“Jangan sebut PAS kalah, sebab PAS cuma belum menang!” Ya, belum menang maksudnya adalah kalah. Bukankah al-Quran menyebutkan bahawa ‘bumi yang luas menjadi sempit’ dan ‘kamu berpaling lari’ ketika memperihalkan peperangan Hunain.

Bukankah kedua-dua ungkapan itu adalah ungkapan yang membawa maksud kekalahan? Justeru, kita tidak perlu takut kepada ungkapan kekalahan. PAS kalah dalam tiga PRK kebelakangan ini. PAS kalah dalam PRU di Perlis, di Pahang, di Johor, di Melaka, di bla, bla dan bla.

Katakan PAS kalah, rasai kekalahan itu, hayatinya, kemudian bangkit dan tebuslah kekalahan itu. Bukankah itu lebih baik daripada kita kalah tetapi tidak berani berkata kalah, tidak berani merasai kekalahan kemudian tidak bangkit menebusnya kerana berasa tidak pernah kalah?

DUA – SATU-SATUNYA KERJA PAS ADALAH MASUK PILIHANRAYA

Satu lagi ungkapan yang saya tidak suka ialah, “Kerja PAS bukan berpilihanraya saja, kita ada banyak kerja lain.” Membahagikan masa kepada, ‘ini masa pilihanraya dan ini bukan masa pilihanraya’ juga agak mengelirukan.

Katakan pilihanraya dihapuskan atau PAS tidak masuk pilihanraya, apa kerja PAS? Ziarah rumah ke rumah ajak orang solat di masjid? Atau, buat kem remaja pada musim cuti sekolah? Atau, masuk hutan ajak orang asli masuk Islam?

Rasanya buat masa ini, adalah mustahil pilihanraya akan dihapuskan ketika banyak negara yang mengamalkan sistem beraja sedang menuju sistem pilihanraya. Negara Brunei juga sudah wujud parti politik, dan tidak mustahil dalam beberapa dekad pilihanaraya akan diadakan untuk memilih para menteri, misalnya.

Kalau PAS tidak masuk pilihanraya pula, apa PAS nak buat? Kalau ada masanya PAS tidak masuk pilihanraya, itu bukan dasar tetapi cuma strategi. Dan, tidak masuk pilihanraya tertentu itu sebenarnya sebagai langkah untuk membakar semangat masyarakat supaya membuat lonjakan perubahan untuk pilihanraya berikutnya.

Bukan tidak masuk pilihanraya kerana dasar PAS tidak mahu masuk pilihanraya.

Masuk pilihanraya adalah kerja PAS, bahkan bagi saya adalah satu-satunnya kerja PAS. Disebabkan mahu masuk pilihanraya PAS mengadakan usrah, mewujudkan sekolah, mendirikan markas, melatih para pekerja sepenuh masa dan banyak lagi kerja-kerja lain.

Jika PAS tidak mahu masuk pilihanraya, untuk apa PAS buat usrah, buat sekolah, buat markas? Dan, kalau pilihanraya bukan kerja PAS, bahkan satu-satunnya kerja PAS, PAS tidak akan jadi PAS. Bahkan PAS tidak akan bernama PAS.

PAS jadi seperti PAS sekarang, PAS bernama PAS, PAS ada ahli seperti sekarang… adalah kerana kerja PAS, bahkan satu-satunya kerja PAS adalah masuk pilihanraya. Bahkan, saya katakan bahawa PAS wujud kerana ingin masuk pilihanraya.

Mengapa JIM wujud, ABIM wujud, PUM wujud, bukankah kewujudan mereka adalah sebagai badan sokongan kepada PAS untuk masuk pilihanraya? Hari ini bekas pemimpin JIM, ABIM, PUM ada di dalam PAS dan masuk pilihanraya. Kalau bukan pilihanraya, untuk apa mereka masuk PAS?

Buat pemimpin PAS, terutamanya pemimpin yang kanan-kanan, senior kata orang putih, tolonglah terimalah dua hakikat. Pertama, PAS kalah. Kedua, satu-satunya kerja PAS adalah masuk pilihanraya. Kalau tidak berupaya berkata sebegitu, saya katakan bahawa anda pemimpin yang tidak menghayati perjuangan PAS.

Tolonglah berpijak di bumi nyata. Pijaklah bumi dengan telapak kaki tuan-tuan bukan dengan telapak kasut Belly atau Crocodile. Pemimpin hendaklah realistik bukan sepanjang masa idealistik.

No comments:

Post a Comment