Saturday, March 12, 2011

Apabila JKM, JKKKP & MKK lena..!!!

'Kami hanya layak jadi buruh'

SUNGAI KOB - Seorang pekerja buruh di Kampung Baru Batu Putih di sini, hidup serba kekurangan bersama isteri dan lima anaknya di sebuah rumah yang usang tanpa bilik.

Disebabkan atap rumah berlubang-lubang keluarga ini terpaksa berteduh di tempat yang tidak bocor setiap kali hujan.

Mohd Hashim, 56, berkata, atas faktor kesempitan hidup juga semua anaknya yang berusia 33, 25, 20, 21 dan 18 tahun terpaksa mengikut jejak langkahnya bekerja sebagai buruh kerana tidak bersekolah dan tidak pandai membaca.

Menurutnya, keadaan bertambah rumit apabila isterinya, Che Nen Othman, 53, menghidap penyakit kronik seperti jantung, kencing manis, buah pinggang, leukemia dan sedang menerima rawatan di Hospital Kulim.

“Saya tinggal di kampung ini sejak enam tahun lalu. Walaupun hidup daif tetapi tiada mana-mana pihak termasuk wakil rakyat datang melawat kami tujuh beranak jauh sekali memberikan bantuan.

“Anak perempuan saya yang sulung sahaja mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan memandangkan dia merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun, “ katanya.

Mohd berkata, hanya dia dan anak perempuannya sahaja menyara keluarga manakala yang lain bekerja untuk menampung keperluan sendiri.

Menurutnya, isterinya yang terlantar sakit terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan jarum bagi suntikan ubat. Kos perubatannya melebihi RM200 sebulan.

“Sudah beberapa kali dikunjungi pihak tertentu dan mengambil gambar rumahnya tetapi sehingga hari ini tiada sebarang bantuan diterima, “ katanya.

Pengerusi Pertubuhan Pengguna, Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim berkata, JKM seharusnya bersikap prihatin terhadap masalah golongan tidak berkemampuan.

Beliau turut memberikan sumbangan peribadi berupa wang tunai dan berharap masyarakat akan lebih peka masalah berlaku dalam kalangan jiran mereka.

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Majlis Ketua Kampung (MKK) seharusnya memainkan peranan memastikan golongan miskin mendapat bantuan sewajarnya.

“Dalam menjalankan kerja amal, kita jangan terlalu fanatik kepada parti sehingga tidak mahu memberikan bantuan kepada penyokong parti lain, “ katanya.

Mohd Zailan berkata, beliau difahamkan, rumah yang didirikan Mohd terletak di atas tanah milik keluarganya.

“Di manakah peranan Lembaga Kemajuan Negeri Kedah (Keda) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam usaha membantu mereka ini. JKKKP dan MKK seharusnya mencari golongan memerlukan bantuan dan inilah tugas yang diamanahkan kepada mereka, ” katanya.

Beliau sudah menghantar salinan dokumen Mohd dan keluarganya kepada JKM pusat bagi permohonan bantuan.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kunjungi rumah Mohd di alamat 165, Kampung Baru Batu Putih, Mukim Karangan, Sungai Kob.

No comments:

Post a Comment