Projek Sulihh belum dilaksana
![]() |
| Ahmad Bashah (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada wakil tiga keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Gurun beberapa bulan lepas di Dewan Balai Bomba Sukarela, Padang Lembu, Gurun, kelmarin. |
JERAI 16 Mac - Status projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh) di Yan dekat sini yang ingin dibangunkan oleh kerajaan Pas Kedah kini menjadi persoalan kerana sehingga kini tiada tanda projek itu akan bermula.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, sudah tiga tahun berlalu sejak pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini, namun status projek tersebut masih menjadi tanda tanya.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan Pas Kedah memberikan pelbagai alasan mengenai penangguhan pelaksanaan projek berkenaan yang dianggar melibatkan pelaburan RM35 bilion.
"Pada awalnya kerajaan negeri kata ada masalah teknikal, selepas itu mereka kata ada masalah dengan pelaburan dan sekarang projek itu terus senyap tanpa sebarang perkembangan.
"Saya yakin kalau BN yang memerintah, projek itu sudah berjalan," katanya pada Program Juara Rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) Jerai di Dewan Balai Bomba Sukarela, Padang Lembu di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada tiga keluarga yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Gurun beberapa bulan lalu, serta menyampaikan sumbangan kepada golongan veteran yang merupakan ahli MCA dan MIC dalam Bahagian Jerai.
Projek Sulihh yang dulunya dikenali sebagai Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) diumumkan pada 2007 hasil perancangan rapi kerajaan BN semasa memerintah negeri ini.
Mengikut rancangan, projek itu melibatkan pembinaan kilang penapisan minyak yang memproses minyak mentah dari Asia Barat sebelum dijual ke negara-negara Asia Timur.
Selepas pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan Pas Kedah bersetuju meneruskan projek itu dengan menggunakan kaedah lain iaitu menambak laut bagi memberikan laluan kepada pelaksanaannya.
Menurut laporan akhbar, projek itu dijangka siap pada 2013 dan apabila beroperasi nanti ia dapat menjana pendapatan RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri.
Ahmad Bashah berkata, penangguhan pelaksanaan Sulihh merupakan satu kerugian besar kepada rakyat, kerana projek berkenaan dapat menjana pendapatan lumayan kepada negeri ini.
Kata beliau, projek impak besar itu dijangka dapat menyumbangkan pendapatan ratusan juta ringgit setahun kepada akaun kerajaan negeri jika ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Katanya, jumlah berkenaan cukup besar bagi kerajaan negeri untuk melaksanakan agenda pembangunan dan memastikan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.
"Dengan pendapatan kerajaan negeri beratus juta ringgit menerusi projek itu, banyak yang dapat dilaksanakan seperti meningkatkan kemudahan infrastruktur, menyediakan lebih banyak biasiswa dan membantu lebih ramai orang susah.
"Namun, apabila ia sehingga kini masih tertangguh, yang menanggung rugi adalah seluruh rakyat negeri ini dan generasi akan datang kerana Kedah akan terus statik daripada segi pembangunan," katanya.

No comments:
Post a Comment