Wednesday, March 9, 2011

KFA belum intai jurulatih baru


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) belum menyenaraipendekkan jurulatih yang bakal mengambil tempat Ahmad Yusuf, sebaliknya memerlukan lebih masa untuk membuat kajian menyeluruh punca kemerosotan pasukan Kedah.

Presidennya yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pemilihan jurulatih baru akan diserahkan sepenuhnya pada penilaian Jawatankuasa Teknikal KFA, dan buat masa ini tanggung jawab itu digalas oleh pemangku jurulatih, Radhi Mat Din.

“Setelah Ahmad direhatkan sementara, kita sedang menyusun strategi baru untuk memulihkan semangat pemain termasuk memikirkan kaedah berkesan tingkatkan prestasi pasukan,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan yang terus diasak media dengan isu jurulatih baru kemudian menegaskan, KFA perlu mengetahui masalah utama yang menyebabkan prestasi hambar pasukan, dan kajian terperinci akan dibuat supaya keputusan yang diumumkan kelak memuaskan hati semua pihak.

“Pasukan Kedah sekarang macam orang sakit tetapi tak tahu apa penyakitnya. Kita kena cari dulu apa penyakit itu dan barulah kita rawat mengikut kesesuaian,” katanya.

Ditanya sama ada KFA akan mengorak langkah menghantar Radhi untuk mengikuti kursus kejurulatihan bagi mendapatkan lesen kelas A, Azizan berkata, belum ada perancangan ke arah itu, kerana pihaknya mahu menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah yang timbul terlebih dahulu.

Mengulas mengenai segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan KFA merehatkan Ahmad, termasuk keluhan yang diluahkan oleh abang kepada jurulatih itu, Zainol Yusuf yang juga bekas pemain pasukan Perak Liga Piala Malaysia 1978, Azizan berkata, keputusan itu dibuat untuk meredakan kemarahan penyokong selain mahu meneliti permasalahan dalam pasukan, sama ada ia berpunca daripada Ahmad atau faktor-faktor lain.

“Rehatkan bukan bermakna buang. Kita cuma mahu teliti punca masalah sama ada berpunca daripada dalaman atau faktor lain. Jika puncanya bukan datang daripada Ahmad, memang tidak adil kita buat macam itu, sebab itu kita sedang kaji dan akan buat keputusan terbaik kelak,” katanya.

Mengulas mengenai ura-ura kembalinya bekas jurulatih Kedah dan Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah ke sisi skuad Kenari, terutama selepas Azraai dilepaskan kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa kemarin mengikut persetujuan kedua-dua pihak, Azizan berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu.

No comments:

Post a Comment