KUALA NERANG - Slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ yang diguna pakai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) perlu digugurkan kerana kegagalan mereka memenuhi janji manifesto yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak perlu menunggu sehingga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bulan depan untuk melengahkan penjelasan kerana Kerajaan Negeri terbukti mengingkari janji manifesto dengan melaksanakan kutipan cukai pintu di pekan-pekan kecil.
Menurutnya, daripada 15 janji manifesto yang dikemukakan sebelum ini, terdapat satu janji Kerajaan Negeri untuk menurunkan mana-mana cukai yang didapati membebankan rakyat, termasuklah cukai tanah dan pintu.
“Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila penduduk kampung yang terletak berdekatan pekan kecil kini berasa terbeban disebabkan terpaksa membayar cukai pintu lebih kurang RM50 hingga RM60 setiap rumah bermula tahun ini.
“Saya hairan Kerajaan Negeri boleh mendakwa hampir 80.7 peratus janji manifesto terlaksana, sedangkan pelaksanaan cukai pintu itu membuktikan mereka memungkiri janji mereka sendiri,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.
Mahdzir berkata, walaupun pembohongan Kerajaan Negeri berhubung isu pelaksanaan janji manifesto sudah terbukti, beliau bersedia mendengar penjelasan Azizan mengenainya di dalam sidang dewan.
“Sebenarnya, saya sudah pun menyiapkan beberapa soalan berhubung perkara itu untuk dijawab Azizan. Kini tunggu dan lihat apa yang hendak dibuat,” katanya.
Admin - Mana2 exco atau penerangan negeri yg baca artikal nie tolong jawab sat..!!

No comments:
Post a Comment