
Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau sedia menjawab secara berhadapan dengan wakil rakyat UMNO jika ditanya dalam sidang dewan nanti mengenai kejayaan yang telah dibuktikan kerajaan negeri kini.
Menurutnya, rasanya tidak perlu lagi untuk menyenaraikan apa yang berjaya dilaksanakan Kerajaan Negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana semuanya telah dinyatakan termasuk sebelum ini dalam akhbar rasmi Kerajaan Negeri.
"Kalau mereka hendak tanya, boleh tanya dalam dewan nanti. Saya sedia menjawabnya jika ditanya mengenai perkara tersebut.
"Malah Karnival Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera juga jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri kini begitu komited dan mempamerkan kejayaan yang dilakukan mereka selama tiga tahun memerintah Kedah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Ladang Nanas Kedah Agro di Laka Temin di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mencabar Kerajaan Negeri yang diterajui Pas membuktikan manifesto yang dijanjikan semasa PRU yang lalu.
No comments:
Post a Comment