
notis sita yang diserahkan kepada mereka pada hari sama premis mereka disita.
KUBANG PASU 11 Mac - Para peniaga di sekitar Sungai Korok di sini, tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) yang mengambil tindakan menyita premis perniagaan mereka tanpa memberi notis amaran terlebih dahulu.
Anggota penguat kuasa MDKP juga didakwa bertindak kasar dan tidak berhemah semasa menyita premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut.
Seorang peniaga makanan, Rokiah Saad, 59 berkata, MDKP menyita kedai makannya yang terletak berhampiran pasar Sungai Korok, Isnin lalu.
"Tiada notis amaran diterima oleh peniaga dan bayaran sewa bulanan saya hanya tertunggak sebulan bernilai RM390.
"Mereka (pegawai MDKP) datang tanpa bercakap apa-apa dan dengan kasar terus menyita gerai saya," katanya ketika ditemui di gerai makannya di Sungai Korok di sini hari ini.
Menurutnya, di kawasan tersebut terdapat hampir 15 lagi gerai peniaga lain yang turut disita oleh MDKP tanpa memberi sebarang notis amaran.
"Sepatutnya mereka memberikan kami notis amaran terlebih dahulu dan kami akan cuba menjelaskan sewa secara beransur-ansur.
"Saya hairan kenapa MDKP mengambil tindakan tersebut kepada kami, sedangkan ada ramai lagi peniaga yang turut mempunyai sewa tertunggak tidak dikenakan sebarang tindakan," ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Norhidayu Salleh, 17, berkata, sewa gerai bihun supnya juga tertunggak sebulan sebanyak RM180 dan ketika pegawai MDKP datang dia bersama ibunya di gerai tersebut.
"Saya terkilan apabila pegawai tersebut tidak menjawab persoalan kami dan terus dengan tindakannya menyita gerai ini," ujarnya.
Sobri Basirun, 45, seorang peniaga barangan elektrik berkata, kedainya juga menerima nasib yang sama seperti peniaga gerai makanan di kawasan tersebut.
"Ketika pegawai MDKP datang masih ada pelanggan di kedai saya dan saya tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu.
"Sewa saya juga hanya sebulan tertunggak namun tiada notis diterima dan saya sangat tidak berpuas hati dengan tindakan MDKP ini," jelasnya.
Sobri berkata, peniaga-peniaga di kawasan tersebut mencadangkan kepada MDKP supaya bayaran sewa gerai-gerai mereka dibayar setiap hari dan bukannya secara bulanan bagi mengelakkan MDKP datang menyita gerai mereka.
"Saya rasa cara ini lebih baik berbanding secara bulanan dan pihak MDKP mesti datang mengutip bayaran sewa harian daripada kami kerana kami mahu pegawai MDKP yang menjalankan tugas bersikap lebih mesra dan berhemah," katanya.
No comments:
Post a Comment