BALING - Walaupun baru berusia enam bulan, Ria Qistina Kaisara Noorhisham menanggung penderitaan menghidap tiga penyakit kronik dan terpaksa mendapatkan rawatan setiap minggu di hospital.
Berasal dari Kampung Banggol Wan Mat, dekat sini, Ria Qistina menghidapi penyakit jantung, bengkak hati dan buah pinggang sejak berusia sebulan.
Ibunya, Zaimah Md Zain, 34, berkata, ketika dilahirkan anaknya dalam keadaan baik tetapi kesihatannya mulai tidak stabil sehingga doktor mengesahkannya menghidap penyakit kronik itu selepas usianya mencecah sebulan apabila keadaan badan makin susut dan tidak bermaya.
Menurutnya, anak bongsu daripada dua beradik itu terpaksa dijaga rapi sepanjang masa dan perlu mendapat rawatan setiap minggu di Hospital Pulau Pinang (HBPP), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (HSB) dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Saya berharap ada pakar dapat membantu merawat anak saya kerana saya tidak mampu menanggung kos rawatan dan perbelanjaan berulang alik ke Pulau Pinang dan Alor Setar.
“Saya tidak mampu menanggung perbelanjaan setiap minggu kerana bil mencecah RM300 setiap rawatan. Suami, Noorhisham Salamun, 30, pula hanya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kereta di sini,” katanya sambil berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menyalurkan bantuan.
Menurutnya, suaminya bertungkus-lumus mencari rezeki untuk merawat anaknya itu selain terpaksa menanggung kos sara hidup termasuk membayar sewa rumah dan membesarkan seorang lagi anak, Nur Fatin Adila, 5.
Zainah berkata, keadaan anaknya makin lemah malah badannya susut dan tidak bermaya sehingga doktor mengesahkan anaknya perlu dirawat seumur hidup kerana tiada rawatan khusus untuk penyakit tiga serangkai.
“Saya reda apa yang berlaku kerana semua penyakit adalah ujian dari Allah tetapi sebagai ibu saya tetap merawatnya meskipun terpaksa menerima hakikat itu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap JKM Baling ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat permohonan bantuan daripada keluarga berkenaan dan ia dipanjangkan kepada pihak atasan.
“Ia sedang diproses bagi membolehkan bantuan disalurkan sedikit masa lagi,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberi bantuan, boleh menyalurkan melalui Maybank atas nama Ria Qistina Kaisara nombor akaun 102046034997 atau menghubungi Zaimah menerusi talian 013-4923226.
No comments:
Post a Comment