Sunday, April 17, 2011

Jika trend di Sarawak berlaku seluruh negara, BN akan tewas di Pusat

Oleh: SAIBURI SUDIN

Ramai kalangan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat agak kecewa dengan keputusan PRU DUN Sarawak semalam. Kekecewaan berlaku kerana kemenangan yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan; iaitu memerintah Sarawak atau menafikan majoriti dua pertiga.

Hakikatnya semua ini berpunca dari sikap ‘tidak memahami realiti’ para penyokong PR atau dengan bahasa lebih ‘kasar’ sikit... tak sedar diri. Jika penyokong PR ‘sedar diri’ kekecewaan tidak harus wujud malah akan berbangga dengan pencapaian yang diperolehi.

Secara umum undi popular BN di Sarawak jatuh dari 63 peratus kepada 55 peratus. Kejatuhan berlaku sebanyak 8%.

Sarawak adalah sebuah negeri yang sangat kuat sokongannya terhadap BN. Ia berlaku disebabkan dua faktor KEJAHILAN dan KEMISKINAN. (Bak kata pepatah: Di mana rakyat merempat, di situ BN kuat). Tsunami yang dikatakan berlaku di Sarawak hanya bertumpu di kawasan bandar di mana rakyatnya lebih berpelajaran dan taraf kehidupan yang baik. Tetapi majoriti rakyat Sarawak yang menghuni kawasan luar bandar tidak terdedah kepada maklumat.

Malah jangan terkejut dengan fakta ini: Majoriti rakyat Sarawak seumur hidup mereka tidak pernah langsung mendengar ceramah PKR, DAP dan PAS, sedangkan tiap-tiap malam mereka mendengar 'ceramah' BN melalui radio dan tv. Dalam keadaan itu tiba-tiba undi popular BN merosot 8%, maka ia sangat mengejutkan.

Undi popular BN di Pusat pada PRU ke 12 lalu cuma 50.28%. Seandainya trend di Sarawak berlaku di seluruh negara dalam PRU ke 13 nanti (merosot 8%) maka undi popular BN akan tinggal sekitar 43%.

Walaupun Malaysia bukan negara yang mengamalkan undi popular untuk penentuan jumlah kerusi, namun perolehan undi popular yang kurang dari 50% lazimnya akan menyebabkan kerusi yang diperolehi menjadi minoriti di Parlimen.

Dengan lain perkataan, jika trend di Sarawak berlaku seluruh negara, BN akan tewas di Pusat!

http://kedahla.blogspot.com

No comments:

Post a Comment