Wednesday, April 13, 2011

MoU ditandatangani untuk hantar produk tempatan ke luar negeri

http://wartakedah.net/images/stories/April2011/dsc_4102.jpg

ALOR SETAR, 13 April 2011 – Kerajaan negeri mengorak langkah ke hadapan dengan memasarkan hasil-hasil pengusaha tempatan ke luar negara. Memorandum sefahaman yang dijalinkan dengan sebuah syarikat di Dublin, Republic Of Ireland memberi ruang kepada usahawan-usahawan tempatan memasarkan produk keluaran mereka ke luar negara.

“Hasil keluaran tempatan kini bukan hanya mendapat pasaran di dalam negara malah kini boleh dipasarkan ke luar negara. Tuntutan makanan dari orang Asia sendiri di luar negara membolehkan usahasama ini direalisasikan,” ucap Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Majlis Menandatangi Persefahaman (MoU) Di Antara Kedah Agro Holdings Berhad Dan Manma & Hibiscus Asian Store LTD. Ireland.

Tambahnya lagi, melalui perjanjian tersebut, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kedah Agro Industries bertanggung jawab memastikan usaha sama itu berjalan dengan baik serta lancar. Kedah Agro akan memainkan peranan mengumpul serta memasarkan produk berkenaan untuk dihantar ke Ireland.

“Saya mengharapkan pengusaha produk tempatan meningkatkan kualiti dan pembungkusan untuk menarik pasaran di sana. Penambahbaikan sangat penting untuk persaingan agar bekalan kita akan berterusan mendapat tempat di sana,” ujarnya lagi.

Dengan nada terharu, beliau bersyukur kerana harapannya terlaksana tapi dalam masa yang sama beliau berharap janganlah pengusaha-pengusaha hanya aktif di peringkat awal tapi semakin lama semakin lesu untuk masa akan datang.

Selain produk keluaran individu, kerajaan negeri juga akan mula pasarkan hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan rambutan, nenas dan mempelam. Tambah beliau lagi, kerajaan negeri telah mula membeli mempelam di daerah Yan untuk dibuat jus.

Beliau mengumumkan 12 pengeluar produk makanan yang berjaya dipilih menjadi perintis usahasama tersebut. Bagi peringkat pertama, produk Kedah akan dihantar pada awal Mei.

“Yang dipilih saya ucap tahniah tapi yang tidak disebut tadi bukan bermakna tak dipilih tapi akan dilihat semula dan mungkin akan dipilih untuk hantaran yang akan datang,” katanya.

Beliau seterusnya menyaksikan Pengarah Urusan ManMa, Kamarulzaman Abdul Manan menyerahkan MOU kepada Pengarah Urusan Kumpulan Kedah Agro Holdings Berhad, Haji Mohd Hassan Salleh.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar.

Kira-kira 250 orang hadir mewakili 26 pengusaha/peniaga pelbagai pengeluaran. Majlis diadakan di tingkat 6, Bilik Gerakan, Wisma Darul Aman.

No comments:

Post a Comment