Saturday, April 16, 2011

Putus asa mohon rumah Keda

PENDANG – Sebuah keluarga di Kampung Sukamari di sini kecewa dan berputus asa memohon bantuan rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) kerana tidak pernah berjaya walaupun beberapa kali permohonan dibuat kepada pihak berkenaan.

Pemohon, Abu Seman Abdullah, 57, berkata, dia menghantar permohonan bantuan rumah daripada pihak berkenaan lebih lima kali sejak 2001 namun, sehingga kini pihak berkenaan belum menghantar sebarang surat maklum balas mengenai status permohonannya itu.

“Saya menghantar surat dan menghadiri kursus dan temu duga mendapatkan bantuan itu, namun sehingga kini tidak berjaya walaupun pihak berkenaan mengetahui kehidupan saya bersama keluarga yang begitu daif di rumah kecil di kampung ini.

“Pihak berkenaan hanya memaklumkan akan memperoleh bantuan rumah Keda di Bukit Jenun, namun sehingga kini tiada apa-apa sedangkan perumahan di kawasan itu sudah lama dihuni pemiliknya,” katanya.

Menurutnya, dia banyak kali membuat permohonan kepada pihak berkenaan memandangkan rumah yang didudukinya bersama isteri, tiga anak dan seorang adik ipar kurang upaya (OKU) usang dan kecil.

“Permohonan juga dibuat kerana tidak sanggup berdepan masalah banjir setiap kali hujan memandangkan kawasan rumah itu dikelilingi sungai.

“Rumah itu lebih tiga kali dilanda banjir setiap tahun ketika musim hujan sehingga menyebabkan kami (keluarga) terpaksa berpindah dan menjalani kehidupan dalam rumah itu. Meredah air paras pinggang merupakan perkara biasa bagi kami,” katanya.

Isterinya, Rojah Said, 57, berkata, ketika tahun 80an pihak berkenaan memintanya merobohkan rumah itu untuk mendapatkan bantuan rumah Keda namun, dia enggan melakukan sedemikian memandangkan rumah kecil itu merupakan rumah pusaka milik tujuh beradik.

“Kami tidak berani merobohkan rumah itu untuk mendapatkan rumah Keda walaupun rumah itu kecil tetapi ia rumah pusaka lagipun kami bimbang jika rumah itu dirobohkan kami gagal mendapat rumah dan tiada tempat lain dapat diduduki.

“Rumah ini tidak mampu menampung jumlah ahli keluarga yang ramai sehinggakan saya terpaksa meminta suami membina pangkin dalam rumah itu untuk kemudahan terutamanya ketika banjir,” katanya.

Menurutnya, bekalan elektrik rumah itu tidak mampu dipasang memandangkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya memperoleh sumber pendapatan kadang kala hanya RM300 sahaja sebagai tukang membaiki rumah.

No comments:

Post a Comment