Friday, April 15, 2011

Tanya Nik Azmi, Phang: Ku Li

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan Nik Azmi Nik Daud dan John Pang tampil memberikan penjelasan mengenai pertemuan bersama pengendali Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin di pejabatnya, tiga tahun lalu.

Tengku Razaleigh melalui pembantu peribadinya, Lukman Mohd Ghani berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang ulasan mengenai perkara itu kerana khuatir dilabel berkomplot dalam isu berkenaan.

“Tanya Nik Azmi dan John Phang, mereka tahu. Ku Li tidak mahu dikatakan terlibat dalam pendedahan dilakukan Raja Petra yang disiarkan baru-baru ini kerana khuatir masyarakat salah tafsir sekiranya beliau mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

“Jadi, lebih sesuai sekiranya media mendapatkan penjelasan daripada Nik Azmi dan Phang supaya dapat jawapan tepat mengenainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Phang adalah bekas pensyarah universiti yang pernah terlibat dalam kempen Tengku Razaleigh bagi calon Presiden UMNO, pada 2008.

Sementara, Nik Azmi pernah berkhidmat di bawah Tengku Razaleigh ketika Ahli Parlimen Gua Musang itu menyandang jawatan Menteri Kewangan pada 1980.

Rabu lalu, TV3 menyiarkan pendedahan Raja Petra mengenai Akuan Bersumpah beliau pada 2008 mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu didalangi individu tertentu.

Beliau mendakwa, individu berkenaan, Nik Azmi, Phang dan penulis blog, Din Merican telah memberikan maklumat bermotifkan kepentingan politik bagi menghalang Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment