Tuesday, May 10, 2011

Berteduh dalam rumah usang


TIKAM BATU – Seorang lelaki hidup sebatang kara lebih 10 tahun lalu dengan hanya berteduh di rumah pusaka peninggalan arwah ibu dan bapanya yang serba kekurangan.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Masjid Batu, Zahidi Saad berkata, kehidupan Abu Bakar Ahmad, 53, dari Kampung Padang Binjal Simpor Besar, Tikam Batu, hidup melarat selain tidak mempunyai pekerjaan.

Menurutnya, penduduk sekitar kasihan melihatkan keadaan Abu Bakar kerana terpaksa berteduh di bawah rumah yang kebanyakan bumbungnya sudah tercabut.

“Dia juga tidak pernah mengganggu orang lain dan hanya menetap di rumah sendiri walaupun hampir roboh” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, keadaan rumah Abu Bakar daif kerana kelengkapan dalam rumah berada dalam keadaan tercemar dan tidak terurus.

Zahidi berkata, selepas kematian orang tua, Abu Bakar pernah menjalankan projek tanaman sayuran bersama adik lelakinya, namun apabila hasil tidak memberangsangkan, adiknya berpindah ke Teluk Air Tawar setelah berkeluarga dan bertugas menjadi pengawal keselamatan di sana.

“Abu Bakar seorang yang rajin kerana sanggup ke pasar hanya untuk menjual seikat sayur kangkung atau satu jantung pisang yang dikutip di sekitar rumahnya.

“Hasil jualan sayuran yang dikutip walaupun hanya dengan 30 sen, dia akan gunakan untuk membeli makanan,” katanya.

Menurutnya, JKKKP berusaha membawa permohonan bantuan ke pihak yang sepatutnya beberapa kali selain ke pengetahuan pemimpin tempatan, namun sehingga kini tiada respons yang diperoleh.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Muda, Mohamad Md Nor berkata, permohonan pertama yang dilakukan tidak diluluskan atas faktor pemohon masih sihat dan berupaya bekerja.

“Bagaimanapun, kami menerima rayuan permohonan dan keputusan perbincangan yang dilakukan April lalu, mengesyorkan bahawa pemohon menerima bantuan am sebanyak RM150 sebulan dan akan dimulakan pada Julai nanti berikutan masih bujang dan mempunyai masalah pembelajaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment