Ahmad Shakir, 22, berkata beliau tidak mahu memikirkan tentang kesilapannya itu ketika bertemu Selangor 9 Mei lepas dan mahu menebusnya dengan memastikan kemenangan Kedah malam esok.
"Saya akui saya gagal menunjukkan permainan yang baik ketika beraksi menentang Selangor disebabkan hilang semangat kerana pasukan pelawat memperoleh gol pertama.
"Saya terima segala komen mengenai kelemahan saya dan akan memperbaiki kelemahan saya dalam memastikan pasukan Kedah menjadi lebih mantap. Saya akan melakukan yang terbaik bagi membolehkan pasukan Kedah mendapat mata penuh esok dan sekaligus pasukan berada pada kelompok yang lebih selesa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada hari Selasa.
Selepas tewas kepada Selangor 0-2 dalam saingan Liga Super 9 Mei lepas, Wan Jamak melahirkan rasa kecewanya dengan sikap pemain-pemain muda Kedah terutamanya Ahmad Shakir yang gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri.
Ahmad Shakir yang dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri dikatakan tidak bermain bersungguh-sungguh dan tidak banyak melakukan gerakan agresif seperti yang diharapkan Wan Jamak.
Ditanya sama ada prestasinya itu disebabkan dia hilang tumpuan terhadap permainan berikutan tidak terpilih menyertai Skuad Olimpik, Ahmad Shakir berkata perkara itu tidak menjadi tekanan buatnya kerana dia sendiri yang gagal melepasi syarat yang ditetapkan oleh jurulatih, Ong Kim Swee untuk menyertai skuad itu.
Sementara itu, Wan Jamak berkata beliau masih mahu memberi peluang kepada Ahmad Shakir dalam perlawanan yang akan datang untuk menunjukkan prestasi yang terbaik, sekaligus menebus kembali kesilapan yang dibuatnya.
"Kemungkinan saya tak akan turunkan Ahmad Shakir (dalam kesebelasan utama) pada perlawanan menentang Pahang malam esok kerana Mohd Azlan Ismail yang membarisi bahagian serangan sudah pulih daripada kecederaan," katanya.
Sementara itu, Wan Jamak berkata beliau akan memastikan kecerdasan pemainnya pada tahap yang baik bagi memastikan mereka boleh bertahan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
"Saya tak mahu mereka hilang fokus disebabkan faktor keletihan seperti menentang Selangor minggu lalu dan berharap pemain dapat mengekalkan ketahanan fizikal dan mental sepanjang perlawanan berlangsung," kata Wan Jamak.
-- BERNAMA
sumber: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newssport.php?id=586991 (18/05/2011)
No comments:
Post a Comment