Monday, July 18, 2011

Penutup longkang hilang


SUNGAI PETANI – Kehilangan hampir 10 besi penutup longkang di sekitar Taman Semarak beberapa hari lalu menjadi tanda tanya siapakah yang bertanggungjawab atas tindakan berkenaan yang boleh mengancam nyawa penduduk.

Pengguna jalan, Lee Seng Hock, 53, berkata, ketiadaan besi penutup longkang di beberapa jalan dalam perumahan itu menimbulkan bahaya sehinggakan pernah menyebabkan kemalangan di kawasan berkenaan.

"Suatu hari saya terpaksa membantu seorang kawan yang terjatuh ke dalam lubang kerana dia tidak menyedari bahawa penutup longkang sudah hilang ketika melalui kawasan ini.

"Keadaan ini membahayakan pengguna lain termasuk warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Selain itu, Nor Hidayah Rajis, 15, berkata, dia yang melalui kawasan berkenaan setiap hari juga terkejut dengan kehilangan besi penutup longkang berkenaan yang dipercayai dicuri pihak tertentu untuk mendapatkan wang.

Menurutnya, dia dan rakan sudah biasa menggunakan laluan berkenaan untuk berulang alik dari Kampung Masjid ke Taman Semarak dan laluan itu lebih bahaya sekiranya digunakan pada waktu malam.

"Boleh jadi pengguna jalan tidak sedar dengan kehilangan besi itu akan terbabas sehingga mengalami kecederaan terutama pada waktu malam," katanya.

Adam Azmi, 12, pula berkata, dia pernah ternampak seorang remaja lelaki terjatuh ke dalam lubang itu ketika sedang bermain bersama rakan.

"Kami sering berulang alik dan bermain basikal di sekitar kawasan perumahan ketika itu ternampak tayar motosikal seorang remaja lelaki termasuk ke dalam lubang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Radzi Samsudin, 56, berkata, keadaan itu membimbangkan ibu bapa yang membiarkan anak-anak bermain tanpa pengawasan.

"Sebelum ini kami tidak risau anak-anak bermain di luar rumah tetapi dengan kehilangan hampir 10 besi penutup longkang di beberapa jalan di sini, amat membahayakan nyawa penduduk," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak bertanggungjawab prihatin mengenai masalah berkenaan.

No comments:

Post a Comment