
SKUAD Hijau Kuning sedang mengintai dua bekas pemain import Kedah musim 2008 yang cukup ‘digilai’ peminatnya untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola sepak Kedah (KFA), Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (gambar) berkata, setakat ini KFA menyenaraikan beberapa nama pemain import namun tidak menafikan dua pemain terkemuka, Nelson Sam Martin dan Marlon Alex James, antara pemain pilihan.
“Saya akui rundingan telah dibuat dengan kedua-dua pemain itu namun sehingga kini semuanya belum muktamad. Masih banyak proses rundingan harus dilalui, termasuk berdepan dengan prosedur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kedua-dua pemain itu antara pilihan memandangkan mereka beraksi ketika membantu Kedah muncul juara treble berganda empat tahun lalu.
“Saya turut mendapat maklum balas penyokong Kedah yang masih mahukan khidmat Nelson dan Marlon kerana masih dambakan aksi mereka ketika menjulang Piala Malaysia. Saya faham kehendak penyokong namun kedua-duanya masih perlu menjalani sesi penilaian prestasi,” katanya.
Hamdan, yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri berkata, prestasi setiap pemain tidak semestinya berada di tahap sama, apatah lagi kedua pemain itu bersama pasukan Kedah pada 2008 lalu.
“Walaupun kita memang berhasrat mahukan khidmat mereka tetapi adakah prestasi mereka tetap sama seperti empat tahun lalu? Oleh itu kita tidak boleh buat keputusan sekarang, setakat ini ianya belum diputuskan lagi,” katanya.
Menurutnya, KFA terpaksa membuat surat rayuan kepada FAM untuk mendapatkan khidmat dua pemain itu berikutan kedudukan mereka tidak menepati syarat FAM, di mana pemain import memerlukan tempoh dua tahun sebagai cooling period.
“Sebelum ini mereka bermain untuk pasukan Singapura dan tempoh ‘edah’ itu belum cukup. Sebab itu kita perlu berunding pula dengan FAM,” katanya.
Hamdan berkata, setakat ini, Kedah hanya akan menggunakan khidmat dua pemain import dan pihaknya masih menilai prestasi beberapa pemain lain, selain Nelson dan Marlon.
Ketika beraksi bersama skuad Kenari, Nelson turut bergandingan dengan dua lagi pemain import iaitu Bernard Hugging dan Marlon, berjaya membantu mencipta kemenangan berganda untuk Kedah.
Kedah mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2007 serta 2008.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story9420001.asp (11/08/2011)
No comments:
Post a Comment