KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan tiga langkah penting untuk dilaksanakan kerajaan bagi menangani masalah perjudian di negara ini yang dianggap sebagai satu penyakit dan ketagihan yang serius.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, langkah itu adalah dengan menarik balik cabutan khas, mengadakan pendekatan kesihatan awam serta memperketatkan aspek perundangan berkaitan perjudian di Malaysia.
“Kerajaan perlu mengurangkan loteri dan cabutan mingguan empat nombor ekor (4-D), toto dan lumba kuda oleh syarikat perjudian serta cabutan khas untuk mengurangkan tabiat berjudi.
“Melalui program kesihatan awam pula kerajaan boleh menyedarkan masyarakat tentang bahaya perjudian dan membina sokongan awam bagi langkah mencegah dan mengurangkan perjudian,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
S. M. Mohamed berkata, kaki judi juga perlu diberi kaunseling dan sokongan untuk mencegah atau menguruskan tabiat perjudian mereka yang berisiko bagi menghapuskan bahaya yang boleh dicetuskan akibat perjudian.
Selain itu, katanya, Malaysia memerlukan peraturan dan perundangan yang lebih ketat serta tegas terhadap pelbagai bentuk perjudian yang kian menular dalam masyarakat termasuk perjudian menerusi talian.
Menurutnya, peraturan yang tegas perlu dikuatkuasakan untuk melindungi orang ramai daripada kemudahan untuk memuaskan tabiat berjudi sama ada melalui kasino, mesin judi atau melalui cabutan.
Tambahnya, langkah itu penting kerana kerajaan perlu menimbangkan tentang nasib ramai rakyat Malaysia yang kerugian akibat berjudi.
Kata beliau, perjudian tidak akan memacu pembangunan ekonomi kerana kos yang timbul akibat kegiatan itu terhadap keluarga, masyarakat serta negara perlu diambil kira.
Malah, kata beliau, lebih banyak kemudahan untuk berjudi akan menimbulkan masalah yang lebih besar.
Justeru, katanya. CAP berharap kerajaan akan meletakkan kesihatan rakyat negara ini lebih utama mengatasi faedah daripada perjudian.
No comments:
Post a Comment