Monday, August 8, 2011

Pejabat Tanah Kulim rangkul anugerah inovasi

ALOR SETAR - Pejabat Tanah Kulim mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul Anugerah Inovasi Sektor Awam 2010, menewaskan Pejabat Daerah Alor Gajah dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir berkata, penganugerahan itu membolehkan Pejabat Tanah Kulim membawa pulang wang tunai sebanyak RM300,000, disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan di ibu negara, baru-baru ini.



“Anugerah ini disertai semua jabatan sektor awam di Malaysia. Kedah memenangi kategori inovasi melalui penglibatan pertama kali Pejabat Tanah Kulim. Saya harap semua jabatan Kerajaan Negeri kelak menjadikan Pejabat Tanah Kulim sebagai contoh,” katanya.



Menurutnya, Pejabat Tanah Kulim dinobatkan pemenang selepas mempelopori beberapa inovasi termasuk Karnival Lelongan Awam Hartanah, Kaunter Pandu Bayar, Kaunter Ekspress dan prosedur Cut Off Point.



Pentadbir Tanah Kulim, Md Shuhaimi Abdul Rahman berkata, ia adalah kejayaan tertinggi peringkat nasional dan akan menjadi pemangkin kepada warganya untuk berkhidmat dengan lebih baik.



“Adalah menjadi kebanggaan warga sektor awam di negeri ini apabila ada daerah yang mampu memenangi anugerah di peringkat kebangsaan. Kejayaan ini mampu dicapai kerana pentadbiran dan semua kakitangan amat komited melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment