Friday, August 19, 2011

“Tahun ini 12 hari berbuka puasa di hospital”

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR



ALOR SETAR, 17 Ogos – “Saya hanya berbuka puasa selama dua hari sahaja di rumah manakala 12 hari lagi berbuka puasa di hospital”.



Itulah kata-kata Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada majlis berbuka puasa bersama Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) di Dewan Sri Mentaloon, di sini.



Menteri Besar dalam ucapannya turut mengucapkan selamat berpuasa kepada semua MKK yang turut sama membantu dalam memajukan negeri ini.



“MKK juga turut memainkan peranan dalam usaha membantu Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan berjalan dengan baik,” ujarnya.



Menurutnya, sejak tiga tahun enam bulan negeri Kedah ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR), pembangunan di negeri ini tetap berjalan seperti biasa.



“Walaupun sudah tiga tahun enam bulan kita memerintah negeri ini, kemakmuran dan kesejahteraan yang dicapai adalah hasil usaha bersama yang turut diberikan oleh rakyat dari pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.



Beliau menjelaskan, majlis yang diadakan pada kali ini melibatkan MKK dalam Zon Utara manakala majlis berbuka puasa bersama MKK dalam Zon Selatan akan diadakan selepas ini.



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, bonus untuk Hari Raya sudah diluluskan pada Mesyuarat EXCO yang diadakan di Sri Mentaloon, di sini yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.



“Semua kakitangan Kerajaan Negeri akan memperolehi bonus masing-masing pada 18 atau 19 Ogos 2011 dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga turut menerima bonus,” ujarnya.



Pada majlis itu, YB. Phahrolrazi turut menyampaikan cek kepada enam Pegawai Daerah di negeri ini bagi pembayaran elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha MKK dalam Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap, Pendang, Pokok Sena dan Langkawi.



Elaun kepada Pengerusi MKK akan dibayar untuk bulan Julai, Ogos dan September 2011 manakala elaun kepada Setiausaha MKK akan dibayar untuk bulan Januari hingga September 2011.



Manakala bagi Zon Selatan, majlis penyampaian cek kepada enam Pegawai Daerah akan diadakan di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai (4PLJ), Sungai Petani yang melibatkan enam daerah iaitu Kuala Muda, Yan, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.



Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO); Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Afizudin Saad.

No comments:

Post a Comment