Thursday, September 15, 2011

Pas sokong MPN


KUALA LUMPUR – Pas bersetuju dengan Majlis Prefesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihak nya yakin dengan MPN kerana apa yang diperkatakan oleh mereka sudah tentu berdasarkan fakta dan kajian dilakukan.

Oleh itu katanya, kerajaan harus menubuhkan satu panel khas bagi mengkaji dan memperbetulkan sejarah negara.

“Ini adalah perlu bagi mengelakkan rakyat terus keliru dengan pelbagai fakta sejarah dikemukakan pelbagai pihak ketika ini.

“Kita panggil Prof Datuk Dr Zainal Kling, Prof Khoo Kay Kim dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu untuk diberi peluang menyatakan fakta sejarah,” katanya.

Terdahulu Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN, Prof Datuk Dr Zainal Kling menyatakan, British hanya mengetuai seluruh pentadbiran Tanah Melayu, namun Tanah Melayu bukan jajahan British.

Mengenai cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna talian telefon prabayar, Mahfuz berkata, adalah tidak wajar bagi ia dikenakan kepada pengguna memandangkan syarikat tersebut boleh menyerap dalam kos mereka.

Tambahnya lagi, cukai perkhidmatan adalah cukai dikenakan selepas mendapat perkhidmatan tetapi dalam hal ini, ia dikenakan sebelum digunakan.

“Adalah tidak wajar, ia bertentangan dengan dengan cukai perkhidmatan diperkenalkan kerajaan.

“Saya mendesak kerajaan mengkaji semula perlaksanaan cukai perkhidmatan prabayar ini, ia satu paksaan dan membebankan,” katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan perlu menyemak semula Akta Pencukaian atau membuat pilihan dengan hapuskan caj cukai perkhidmatan atau kerajaan kenakan cukai perkhidmatan ke atas syarikat yang boleh menyerapkan kos tersebut.

No comments:

Post a Comment