
Tidak cukup itu, cubaan memperkakaskan Majlis Fatwa pula dilakukan dengan menjatuhkan hukum haram menyertai perhimpunan sebegini. Heboh-heboh perdebatan di antara pemerintah yang menuduh Pakatan Rakyat cuba menggulingkan kerajaan dengan cara rusuhan dan Pakatan Rakyat pula membalas hujah tersebut berlarutan lamanya. Paling celaka apabila Anwar Ibrahim dan Azmin Ali tiba-tiba menjadi panas namanya kerana kononnya merekalah penganjur segala bentuk keganasan pada hari itu. Jawatankuasa penganjur seperti Ambiga pula terus diburukkan imejnya sehingga hari ini dan terus diganggu keselesaan hidup sehingga sampai ke halaman rumahnya.

Seriuskah sebenarnya Pakatan Rakyat hendak menakluki Putrajaya sedangkan perjuangan untuk memastikan pilihanraya adil dan telus pun hangat-hangat tahi ayam? Itu belum lagi perjuangan yang lain seperti Mansuhkan ISA, perjuangan menentang PPSMI yang sepatutnya dimansuhkan tahun ini tetapi kerana protes yang lesu maka kerajaan masih boleh terus bernafas lega dan menyorokkan masalah ini di bawah karpet.

Anak-anak muda dalam parti politik Pakatan Rakyat juga sepatutnya harus terus turun mendekati rakan sebaya mereka menerangkan risalah perjuangan, bukannya berpolitik dan melobi menjadi calon. Agak mengecewakan juga apabila perjuangan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka sebagai protes menentang PTPTN disambut dingin oleh anak-anak muda parti politik disebabkan tidak sebulu. Kata anak-anak muda parti, mahasiswa ini berlagak dan mengkritik parti. Seharusnya mereka mencari titik persamaan apatah lagi isu PTPTN ini isu anak muda. Jika isu anak muda gagal disahut sendiri oleh anak-anak muda di dalam parti politik yang bercita-cita untuk memerintah, makanya apa sebenarnya obor perjuangan anak muda di dalam parti politik?
Itu belum lagi golongan pencinta bahasa, budayawan dan golongan sebagainya yang terawang-awang berjuang dan masih gagal melihat "musuh" sebenar dalam kemelut ini. Mereka lantang apabila isu bahasa dipinggirkan malah sekumpulan seniman juga pernah membuat persembahan protes menentang rampasan tanah kampung tradisional untuk tujuan pembinaan projek tetapi itu kerana salah seorang daripada seniman tersebut adalah penduduk asal kampung tersebut. Dalam isu lain mereka membisu pula walhal mereka seharusnya sedar segala mehnah yang timbul pada hari ini baik isu bahasa, pencerobohan tanah, rasuah mahu pun penyelewengan kuasa atau segala bapa kejahatan di atas bumi Malaysia pada hari ini datangnya dari satu musuh sahaja iaitu sebuah kerajaan yang zalim.

Saya percaya sekurang-kurangnya 10% daripada 300 ribu orang peserta demonstran adalah pelanggan sebuah stesen televisyen berbayar. Hari ini mereka terus membayar stesen itu untuk terus menfitnah mereka sendiri. Bayangkan 10% daripada peserta perhimpunan BERSIH 3.0 ini (mungkin lebih daripada itu) memboikot dan menghentikan langganan apakah stesen televisyen berbayar ini tidak rasa tergugat dan akan berfikir lebih daripada sekali untuk melaporkan fakta yang salah pada lain kalinya? Mengapa ini pun tidak mampu dilakukan? Apakah susah untuk melakukan ini? Apa kata buat sahaja yang ini dahulu sebelum melangkah berteriak dengan kuat. Tidak ketinggalan zaman kita rasanya jika tiada benda-benda seperti itu. Jangan biarkan musuh ada di dalam rumah kita sendiri.
Semua rakyat Malaysia, seniman dan budayawan, ahli politik, anak muda tidak kira di dalam atau di luar parti jika mahu melihat kerajaan yang zalim ini tumbang haruslah duduk bersama mencari titik persamaan agar Malaysia baru dapat ditegakkan. Percayalah jika kita bersatu meneriakkan slogan "tunaikan lapan tuntutan" dengan lantang dan konsisten tanpa henti-henti segala tonggeng punggung, jual burger depan rumah orang, mengheret ibu ahli politik masuk televisyen akan gugur dengan sendirinya dan mimpi menakluki Putrajaya akan jelas dan memang nyata akan menjadi realiti!
Semua rakyat Malaysia, seniman dan budayawan, ahli politik, anak muda tidak kira di dalam atau di luar parti jika mahu melihat kerajaan yang zalim ini tumbang haruslah duduk bersama mencari titik persamaan agar Malaysia baru dapat ditegakkan. Percayalah jika kita bersatu meneriakkan slogan "tunaikan lapan tuntutan" dengan lantang dan konsisten tanpa henti-henti segala tonggeng punggung, jual burger depan rumah orang, mengheret ibu ahli politik masuk televisyen akan gugur dengan sendirinya dan mimpi menakluki Putrajaya akan jelas dan memang nyata akan menjadi realiti!
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.
No comments:
Post a Comment