Saturday, July 14, 2012

Ini dinamakan Bapa Mithali....

Berhenti berniaga jaga anak leukimia
Wartawan Sinar Harian
14 Julai 2012
Berhenti berniaga jaga anak leukimia
Erman disamping isteri dan anak sulungnya, menunjukkan dada Qysstina yang ditebuk semasa menjalani rawatan.
 
KUALA KETIL - Seorang bapa terpaksa berhenti berniaga bagi memberi tumpuan kepada anak perempuannya yang berhadapan masalah jantung berlubang dan leukimia sejak tiga bulan lalu.

Erman Shah Yahya, 30, dari Taman Permai, Kuala Ketil yang merupakan peniaga kuih muih di pasar malam dekat sini sanggup berjaga siang dan malam bagi memberikan perhatian penuh kepada Qysstina Syafieka, 5.

Isterinya, Norhasyimah Abu Hasan, 26, yang sedang mengandungkan anak ketiga dinasihatkan oleh doktor untuk berehat bagi mengelak kesihatannya dan anak yang dikandung terjejas.

Keadaan itu mengakibatkan Erman tepaksa memikul tanggungjawab yang lebih demi kebaikan anak-anaknya.

Menurutnya, Qysstina terpaksa diletakkan di dalam wad Hospital Sungai Petani dalam jangka masa yang lama bagi memastikan keadaan kesihatannya terkawal.

“Kadang kala, saya tidur di Hospital kerana tidak larat untuk pulang ke rumah. Saya juga perlu memberikan perhatian kepada isteri yang sedang sarat mengandung.

“Sehubungan itu, saya terpaksa kuatkan semangat demi memastikan kebajikan dan kasih sayang dalam keluarga ini tidak terabai,” katanya semasa ditemui di kediamannya, semalam.

Walaupun Qysstina semakin hilang selera makan, tubuh badan yang lemah selain keadaaan fizikal yang pucat, Erman tetap tabah dan cekal dalam memberikan penjagaan terbaik kepada anaknya itu.

Erman berkata, dia redha dengan segala ketentuan mahu pun ujian yang diberikan.

Erman yang tekad memberikan tumpuan penuh kepada keluarganya itu tidak menafikan berhadapan dengan masalah kewangan berikutan tidak lagi mempunyai punca pendapatan.

“Bila saya berniaga, saya teringatkan anak dan isteri. Saya tidak dapat fokus. Jadi, lebih baik saya tumpukan kepada keluarga.

“Setiap hari saya tidak pernah lupa berdoa agar dipermudahkan setiap urusan saya selain diperkuatkan semangat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, dia akan meneruskan perniagaan selepas isterinya selamat melahirkan anak ketiganya itu.

“Setakat ini, biarlah saya yang berikan tumpuan kepada anak. Lagipun, doktor tidak menyarankan isteri bersama anak semasa dia mendapatkan rawatan.

“Rawatan kimoterapi ini boleh memberi kesan kepada ibu yang mengandung termasuk bayi di dalam kandungan,” katanya.

Katanya, dia bercadang ingin mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anaknya itu.

“Sedikit sebanyak bantuan ini dapat mengurangkan beban saya kelak. Justeru, saya berharap pihak JKM dapat mempertimbangkan permohonan saya ini kelak,” katanya.

No comments:

Post a Comment