ALOR SETAR - Bagi mencapai pembangunan dalam sesebuah negara yang maju memerlukan rakyatnya berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) berkata, sejarah juga menunjukkan bahawa negara yang maju bermula daripada rakyatnya yang suka membaca. Islam sendiri menggalakkan agar umatnya sentiasa membaca, seperti yang diajarkan dalam al-Quran.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program galakan membaca cintailah ilmu di Wisma Darul Aman.
“Ilmu pengetahuan boleh diperolehi daripada amalan membaca dan amalan membaca perlu diperlengkapkan dengan membaca bahan bacaan yang berkualiti.
“Budaya membaca masyrakat kita pada hari ini adalah masih kurang. Mengapakah ianya berlaku, adakah kerana masyarakat kita terlalu sibuk dengan urusan seharian sehingga tidak mempunyai masa untuk membaca sebarang bahan bacaan ataupun masyarakat kita tidak lagi berminat untuk membaca buku dan lebih suka melayari internet, menonton televisyen dan mendengar radio untuk mendapatkan maklumat terkini,” soalnya.
Tambahnya lagi, istitusi keluarga berperanan bagi melahirkan invidu yang berilmu yang dapat menyumbangkan pembangunan dalam sesebuah negara. Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik anak agar suka membaca dan menjinakkan anak-anak dengan perpustakaan sejak kecil lagi.
Bangsa yang maju adalah bangsa yang banyak membaca dan merekalah yang akan menggoncang dunia.
“Saya berharap kita dapat membudayakan ilmu dalam diri kita agar menjadi masyarakat yang berjaya,” katanya.
Dalam majlis tersebut turut diadakan persembahan sajak dan penyampaian hadiah kepada rakan setia perpustakaan.
Sementara itu, Program Galakan Membaca ‘Cintailah Ilmu’ ini merupakan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Perpustakaan Awam Negeri Kedah bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Ianya adalah bertujuan untuk meningkatkan minat membaca serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan penjawat awam negeri.
Program yang bermula pada 9 Julai hingga 15 Julai ini akan menyediakan pelbagai pengisian antaranya bicara tokoh, bengkel penulisan kreatif, pertandingan explorace, pertandingan resensi buku dan pelbagai lagi.
No comments:
Post a Comment