Monday, September 10, 2012

Saya setuju.... Dr M kata PR akan memerintah selama-lamanya...

Jumaat lepas Mahathir telah bercakap lagi, kali ini di Lembah Pantai. Walaupun usia sudah begitu lanjut Dr M tetap mundar-mandir berkempen untuk kemenangan BN dalam pilihan raya nanti. Mahathir tidak ada masa untuk menjadi seorang negarawan tetapi beliau tetap seorang ahli politik semata-mata. Tetapi itu pilihan beliau sendiri.

Dr Mahathir berkata jika Pakatan Rakyat memerintah ia akan memerintah sampai bila-bila dan tidak akan berpeluang lagi bagi BN untuk kembali ke Putrajaya jika rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat kali ini. 

Apa yang diperkatakan oleh Mahathir itu ada kebenarannya. Kata Dr M jika Pakatan memerintah ia akan memerintah buat selama-lamanya.

Belajar melalui kesilapan dan kesalahan orang lain merupakan cara pembelajaran yang paling baik kerana ia tidak melibatkan pihak sendiri dalam proses pembelajaran itu. Tindakan Mahathir keluar berkempen ini merupakan satu petanda yang BN berada di dalam keadaan terdesak. Pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang paling sengit pernah dialami oleh BN sejak dahulu.

Jika Mahathir terus keluar berkempen ianya memberikan semangat yang kuat untuk rakyat membantu Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pentadbiran negara. Ianya menandakan yang PR hanya perlu sedikit sahaja usaha lagi untuk mengambil alih Putrajaya itu.
Dengan tindakan Dr Mahathir itu memberikan satu kenyataan yang membantu PR untuk mengambil alih Putrajaya itu adalah usaha yang jauh lebih mudah dari usaha untuk mempertahankannya untuk BN. Jika memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat lebih senang dari memberikan mandat itu kepada BN, kita ambillah jalan yang lebih mudah itu. Berikan sahaja mandat itu kepada Pakatan Rakyat.

Kita ingatkan pilihan raya pada tahun 2008 dahulu adalah pilihan raya yang terburuk bagi UMNO dan BN dalam sejarah dan keadaan itu tidak akan lebih buruk lagi selepas itu. Rupa-rupanya pandangan dan tanggapan itu ternyata meleset kerana pentadbiran di bawah Najib adalah lebih buruk dan lemah lagi jika di bandingkan dengan zaman pentadbiran Pak Lah dahulu.

Kata-kata Dr M yang Pakatan Rakyat akan memerintah selama-lamanya jika pakatan tiga parti itu memenangi PRU nanti, membuktikan satu fakta yang mesti kita lihat dengan jelas. Ianya bermakna PR akan mentadbir dengan lebih baik dari BN dan ini merupakan pengakuan Dr M yang UMNO sekarang tidak baik. Jika BN kalah rakyat tidak akan mengembalikan kuasa kepadanya lagi. Jika rakyat tidak memberikan mandat lagi kepada BN, komponen itu akan hilang terus dan tidak berdaya lagi untuk bergerak.

Kata-kata Dr Mahathir itu juga merupakan pengakuan yang BN sekarang ini hanya bergantung kepada kuasa yang disalahgunakan itulah yang mengekalkan BN di Putrajaya selama ini. Jika begitu Dr M berkata, sekali gus beliau mengakui yang Pakatan Rakyat adalah pihak yang lebih baik untuk sebagai pemerintah kerana tidak mungkin rakyat akan mengekalkan PR memerintah jika mereka (PR) tidak memerintah secara telus dan bersih secara relatifnya

Bagi rakyat, mana sahaja parti yang mampu memberikan pemerintahan yang adil dan saksama itulah parti yang perlu diberikan mandat.

Tetapi dalam pada mengakui kekuatan dan kebolehan Pakatan Rakyat mentadbir kenapa Dr Mahathir menyeru rakyat untuk menyokong BN lagi? Kenapa? Itu ada sebabnya.

Jawapannya boleh diagak dengan mudah. Untuk mengagaknya seseorang itu tidak payah pergi sekolah tinggi-tinggi. Ia adalah berkaitan dengan masalah mereka (UMNO) itu sendiri. Maklum sajalah sudah terlalu lama memerintah. Selama ini UMNO berfikir yang parti itu akan memerintah buat selama-lamanya maka mereka telah banyak melakukan kerja-kerja yang bertentangan dengan kehendak rakyat.

Oleh kerana mereka tidak terfikir yang UMNO suatu hari nanti akan jatuh, mereka telah melakukan banyak kemungkaran politik dan ekonomi yang mereka boleh tutup dan lindungi dari pengetahuan rakyat dengan pengaruh dan kuasa yang ada kepada mereka.

Bagi menulis tentang isu kenapa mereka (UMNO) dan Dr Mahathir masih menyeru rakyat memilih BN walaupun beliau mengakui kewibawaaan PR itu, elok saya tulis sedikit dalam posting saya selepas ini.

Apa yang saya tulis itu mungkin ibarat menyuluh tempat yang terang, tetapi masih ramai lagi yang masih lagi tidak nampak walaupun jawapannya berada di tempat yang begitu terang.

- Aspan Alias.

No comments:

Post a Comment