Sunday, December 2, 2012

Kerajaan Negeri Kedah Tetapkan Harga rumah kos rendah perlu RM35 ribu

gambar hiasan
ALOR SETAR - Kerajaan negeri prihatin terhadap rungutan yang disuarakan oleh rakyat berkaitan dengan harga rumah yang melambung tinggi dengan menetapkan harga rumah kos rendah pada harga RM35 ribu seunit.

Exco Industri & Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah menjelaskan bahawa ketika ini tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengawal harga rumah kos rendah adalah dengan menetapkan harga siling rumah kos rendah pada harga RM35 ribu bagi satu unit.

Beliau menjelaskan dalam jawapan bertulis bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh YB Dr Cheah Soon Hai (BN-Derga) berkenaan usaha kerajaan negeri dalam mengawal kenaikan harga rumah yang kini melambung tinggi, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedua Belas.

“Kawalan terhadap harga tersebut dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri ketika pihak kerajaan negeri ingin mengeluarkan surat sokongan bagi permohonan pemaju swasta untuk mendapatkan lesen jualan dan permit iklan daripada pihak Jabatan Perumahan Negara.

“Ketika itu, pihak kerajaan negeri akan memastikan sekiranya pemaju tersebut dikehendaki untuk membina rumah kos rendah, maka harga rumah kos rendah tersebut adalah pada harga RM35 ribu seunit,” katanya.

Tambahnya, sekiranya harga tersebut melebihi daripada harga yang ditetapkan maka surat sokongan tidak akan dikeluarkan kepada pemaju berkenaan.

Selain daripada rumah kos rendah, pihak kerajaan negeri ketika ini tidak mempunyai dasar untuk membuat kawalan harga-harga rumah-rumah berkenaan.

No comments:

Post a Comment