
SUNGAI PETANI - Mana-mana usahawan Bumiputera yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau ingin memperluaskan perniagaan mereka, bolehlah mendapatkan pinjaman daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Usahawan dan Pembangunan Insan, YB. Abdul Ghani Ahmad berkata, pinjaman yang berbentuk Dana Usahawan itu akan diberikan kepada setiap usahawan dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain PKNK, usahawan Bumiputera juga boleh mendapatkan pinjaman untuk menjalankan perniagaan mereka melalui Agro Bank, Bank Rakyat atau Majlis Amanah Rakyat (MARA),” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar dan Forum Keusahawanan 2012 anjuran Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Kerajaan Negeri Kedah di Amanpura Hotel, di sini.
Menurutnya, usahawan Bumiputera yang bergiat aktif dalam menghasilkan produk mereka terutama berasaskan kuih tradisional yang sejuk beku, disaran agar memperluaskan pasaran bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
“PKNK dan Jabatan Pertanian turut memberikan bantuan berupa kursus kepada setiap usahawan yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Abdul Ghani memberitahu, peluang seperti itu perlulah dipergunakan dengan sebaik mungkin oleh setiap usahawan di negeri ini dalam usaha memajukan perniagaan.
Tambahnya, setiap usahawan yang mengeluarkan setiap produk keluaran mereka perlulah mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah.
“Untuk mendapatkan sijil halal berkenaan, ia perlu melalui proses yang agak rumit sebelum sijil halal itu dikeluarkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, soal halal dalam setiap produk yang dikeluarkan itu perlulah diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Sehingga November 2012, seramai 411 usahawan di negeri Kedah memperoleh Dana Usahawan daripada PKNK manakala seramai 775 usahawan lagi memperoleh Dana Usahawan daripada Jabatan Pertanian,” katanya.
Di samping itu, ujarnya, seramai 34 usahawan di negeri ini juga turut memperoleh Dana Usahawan daripada Jabatan Veterinar manakala seramai 8,900 usahawan memperoleh Dana Usahawan daripada MARA.
“Usahawan Bumiputera perlulah mencontohi usahawan Cina dalam bidang perniagaan di mana mereka saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.
Beliau menjelaskan, Kedah Agro turut memainkan peranan dalam usaha memasarkan hasil pertanian petani-petani serta produk keluaran usahawan Bumiputera di negeri ini dengan wujudnya Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Lembah Jerai di Sungai Petani.
“Kita mensasarkan seramai 200 usahawan Bumiputera akan menyertai Karnival Usahawan Tani 2012 yang akan diadakan di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Lembah Jerai di Sungai Petani dari 18 hingga 22 Disember 2012,” ujarnya.
Dengan adanya karnival itu, tambahnya, ia secara tidak langsung dapat mempromosikan produk-produk yang dikeluarkan oleh setiap usahawan di negeri ini.
Turut hadir dalam majlis itu ialah ADUN Kota Darul Aman, YB. Lee Guan Aik dan Pengurus Besar Operasi PKNK, Abd. Rahim Man.
No comments:
Post a Comment