Sunday, February 3, 2013

Hutang ditinggalkan bertimbun tapi kerajaan Kedah berjaya urus negeri

oleh wartakedah.net


KUALA KETIL – Dalam keadaan sumber ekonomi yang terhad dan hutang pemerintahan yang lepas masih ‘bertimbun’ di negeri Kedah, ramai yang pelik bagaimana kerajaan negeri kini dapat mentadbir dengan lancar dan pelbagai kejayaan dapat dikecapi walaupun baru hanya sepenggal memerintah.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak menjelaskan bahawa beliau sudah mentadbir Kedah selama kira-kira lima tahun walaupun sebelum itu ada yang berkata bahawa pihaknya tidak akan mampu mentadbir Kedah selepas mengambil alih kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Mahabbah MKK bersama Menteri Besar Kedah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil.

“Mereka mempersoalkan bagaimana kita hendak mentadbir Kedah dalam keadaan kita tidak ada pengalaman mentadbir dan darimanakah kita hendak mendapatkan sumber kewangan untuk mentadbir dalam keadaan Kedah kekurangan sumber?

“Akhirnya, kini ada pihak yang hairan dalam keadaan sumber ekonomi Kedah yang kurang kerajaan kini dapat mentadbir Kedah dengan baik,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa pihaknya menjalankan tugas dengan amanah dan Allah bersama dengan orang-orang yang bertakwa. Banyak negeri yang kaya yang tidak mampu bertahan dan ianya adalah disebabkan berlaku banyak penyelewengan.

Selepas mentadbir Kedah tiada lagi masa untuk kerajaan negeri bersuka ria dan berbulan madu kerana musuh sering menganggu pentadbiran kerajaan negeri.

“Pihak musuh yang tidak dapat mentadbir Kedah menjadi hilang pedoman. Namun, berkat kesungguhan pentadbiran dari akar umbi yang bermula daripada Majlis Ketua Kampung, maka pihaknya dapat bertahan sehingga hari ini.

“Selepas mentadbir Kedah kerajaan negeri melakukan pelbagai perubahan antaranya memperkembangkan KUIN. Saya tidak mahu KUIN hanya menumpukan ilmu akhirat sahaja dan beliau mahu menggabungkan ilmu akhirat dengan ilmu dunia. Kini kuin mempunyai 47 program pengajian dan bukannya 47 mata pelajaran,” terangnya.

Katanya, selepas menghadapi pelbagai dugaan, kini pihaknya telah berjaya. Sekarang pihaknya sedang membina asrama untuk pelajar pula.

Baru-baru ini Pengurusi Sukan Perahu Panjang datang melawat KUIN dan mengatakan bahawa tasik KUIN boleh digunakan untuk sukan perahu panjang. Selepas ini ramai orang akan datang ke situ.

“Dengan penubuhan KUIN ini maka orang Kedah di Kuala Ketil akan lebih senang kerana orang ramai akan membelanjakan duit di Kedah pula, sebelum ini banyak duit dialirkan ke luar Kedah kerana banyak anak-anak Kedah yang berlajar di luar Kedah.

“Kuala Ketil akan menjadi seperti Bandar Baru Bangi yang bermula daripada perkampungan kecil bertukar kepada bandar baru. Ramai orang hairan bagaimana sebuah kerajaan negeri tanpa bantuan Kerajaan Pusat boleh buat Kolej Induk KUIN ini,” ujarnya.

Katanya lagi, selain itu, di antara pencapaian pihaknya semenjak mentadbir Kedah adalah memperuntukan sebanyak RM5 juta untuk program Skim Kafalah. Dengan skim ini setiap keluarga yang kurang bernasib baik yang ahli keluarganya meninggal dunia akan mendapat RM500.

RM 500 memanglah tidak banyak tetapi ianya merupakan tanda simpati kerajaan negeri kepada rakyat. Selepas ini jika peruntukan meningkat, maka ia akan ditambah lagi. Tahun ini pihaknya terpaksa membayar hutang yang dilakukan oleh kerajaan yang lepas.

“Kita terima kerajaan negeri maka terpaksa terima juga hutangnya. Insya- Allah kita akan memerinah lagi Kedah jika tidak ada perkara yang di luar jangkaan berlaku.

“Seterusnya kita sedang membina Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba. Kita sudah berbincang dengan penduduk di sana dan mereka bersetuju agar dibina pusat tahfiz tersebut.Maahad tahfiz yang bermodelkan Maahad Tahfiz Sains di Kelantan itu akan mula dibina bermula bulan Februari ini,” katanya.

Ujarnya, selain itu, kerajaan negeri sedang membina Aman Central yang di bina di atas tapak bangunan Tunku Yaakob iaitu bangunan yang tergendala sejak 30 tahun lepas.

Ianya akan menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah. Madrasah Salihiah akan digantikan dengan surau yang lebih besar dan cantik. Ianya lebih besar dan dapat memuatkan seramai 400 ratus ahli jemaah pada satu-satu masa.

“Dalam masa yang sama turut akan dibina sebuah hotel bernama Aman Puri bersebelah dengan Aman Central dan ianya akan merubah wajah Alor Setar.

“Kita tidak mengamalkan rasuah dalam melaksanakan projek ini dan hanya meletakkan syarat agar projek ini mesti disiapkan,” terangnya.

Katanya lagi, beliau telah berjumpa dengan pengarah hotel terbesar di Turki dan Eropah. Pengarahnya bercadang untuk membina hotel tujuh bintang khas untuk perempuan di Langkawi. Hotel itu akan menjadi model hotel yang mengasingkan lobi dan tempat mandi di antara perempuan dan lelaki.

Pihaknya juga akan menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian. Beliau telah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah untuk membina kilang pengetinan buah-buahan tempatan seperti mempelam, nanas dan sebagainya.

“Jika terdapat banyak buah-buahan di tempat tuan-tuan, maka bolehlah hantar ke sana. Janganlah sampai buah-buahan tersebut diberikan kepada lembu untuk dimakan,” katanya sambil berjenaka.

“Saya tertarik dengan sistem perladangan di Mesir kerana mereka menanam pokok buah-buahan di atas padang pasir seluas 35 ribu ekar,” ujarnya.

Katanya, maka, beliau meminta wakil kerajaan negeri untuk mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan pusat Agro Tourism. Akhirnya pihaknya bersetuju untuk membinanya di Genting Bunga, Tasik Pedu.

Semua jenis buah-buahan akan ditanam di atas tanah seluas seribu ekar dan 15 ekar akan ditanam pokok anggur. Selepas ini ianya akan menarik orang ramai untuk datang ke sana dan akan dibina chalet untuk orang ramai datang menginap.

“Kerajaan negeri juga membantu sekolah persendirian dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) apabila mereka akan diberi tanah untuk diusahakan selama 30 tahun. Pihak sekolah boleh mengusahakan tanah tersebut untuk membantu sekolah mereka sendiri.

“Saya dapat tahu sekolah persendirian India dan Cina akan menyerahkan tanah tersebut kepada koperasi milik mereka. SAR juga mungkin akan berbuat seperti itu. Tanah ini sudah dikenalpasti cuma masih belum diserahkan kepada pihak sekolah,” terangnya.

Katanya, jika pihaknya terus memerintah, maka pihaknya akan perbaiki lagi kelemahan yang ada. Kini Kedah merupakan pengeluar nanas kedua terbesar di Malaysia dan pihaknya menjangkakan pada 2015 nanti Kedah akan menjadi pengeluar nanas terbesar di Malaysia.

Kerajaan negeri menggalakkan rakyat Kedah untuk menanam nanas dan kerajaan negeri akan memproses nanas tersebut.

“Selain itu, kita dah baiki pusat rekrasi Paya Pahlawan untuk menjadikannya sebagai Institut Latihan Belia Sejahtera. Ianya merupakan tempat yang cantik dan sesuai untuk diadakan perkhemahan dan kem-kem motivasi.

“Kita adalah salah satu negeri yang mempunyai pusat latihan belia dan tuan-tuan yang mahu belajar sesuatu bolehlah ke sana untuk belajar,” terangnya.

Tambahnya, pihaknya sudah berjaya selesaikan masalah air di Kedah dan pihak Syarikat Air Darul Aman dapat menjalankan tugas dengan baik. Walaupun negeri-negeri lain ada masalah berkenaan dengan air tetapi di Kedah tidak ada masalah tersebut.

Beliau berpegang kepada hadis nabi yang berbunyi, “Setiap kamu adalah pengembala dan setiap pengembala akan ditanya tentang gembalaannya.”

Allah juga akan bertanya sama ada pihaknya menjalankan kerja dengan amanah atau tidak?

“Kita belanjakan duit rakyat dengan berhemah. Kita kutip duit rakyat dan kita belanjakan dengan baik. Banyak lagi perubahan yang dilakukan di Kedah, di antaranya dengan menurunkan cukai tanah, meluluskan banyak geran tanah yang tergendala dan menaikkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM150 sebulan.

“Kita mengakui apa yang kita buat ni belum cukup dan jika kita diberi mandat untuk memerintah lagi, maka kita akan usaha lagi,” katanya di hadapan 4 ribu MKK yang hadir.

No comments:

Post a Comment