Saturday, February 12, 2011

KUALA KEDAH - Jangan terpedaya ‘ulat’ letak kereta

KUALA KEDAH - Ekori dan pujuk. Begitulah modus operandi yang digunakan ulat di Jeti Kuala Kedah yang mencari pendapatan harian dengan jalan mudah menggunakan pelancong ke Pulau Langkawi sebagai sasaran mereka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ulat terbabit akan menunggu pelancong yang menaiki kenderaan dan bertanyakan pelancong sama ada mahu ke Pulau Langkawi atau tidak, sekiranya mereka mahu mencari tempat letak kereta, ulat akan memujuk untuk diletakkan di kawasan mereka.

Kesempatan di musim cuti persekolahan sering digunakan untuk mencari keuntungan yang berlipat kali ganda dengan mengenakan caj yang mahal kepada pelancong.

Bagi mengekang golongan tidak bertanggungjawab itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan polis mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit. pada Tahun Baru Cina lalu.

Datuk Bandar, Datuk Khazali Din berkata, sebanyak 200 saman dikeluarkan dan diletakkan di kenderaan yang melanggar kesalahan itu namun kertas saman dikoyakkan oleh ulat terbabit.

Menurutnya, apabila kejadian itu berlaku, pemilik kenderaan tidak menyedari mereka menjadi mangsa ulat.

“Tindakan yang dilakukan ulat ini sangat berbahaya kepada pemilik kenderaan kerana mereka bukan sahaja tidak mengetahui kenderaan mereka disaman malah ia turut disenaraihitamkan.

“MBAS menyarankan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka di kawasan letak kereta disediakan MBAS di kawasan jeti Kuala Kedah ataupun penyedia letak kereta yang dibenarkan,” katanya.

Khazali berkata, MBAS menyediakan kawasan letak kereta dengan harga berpatutan berbanding caj tinggi disediakan ulat.

Menurutnya, bagi membanteras kegiatan ulat di Jeti Kuala Kedah, MBAS dengan kerjasama polis akan melipatgandakan usaha membanteras kegiatan yang memberi imej tidak baik di kawasan itu.

Menurutnya, ulat terbabit boleh didakwa di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Tempat Letak Kereta 1988 kerana menyediakan tempat letak kereta tanpa kebenaran Datuk Bandar.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda RM2,000 dan RM200 tambahan pada setiap hari kesalahan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata, peringatan kepada ulat terbabit telah diberikan supaya kegiatan mereka dihentikan namun masih tiada sebarang perubahan.

Mohd Nasir berkata, pelancong ke Langkawi dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ulat terbabit kerana membahayakan kenderaan mereka.

No comments:

Post a Comment