Thursday, March 17, 2011

MBAS buru peniaga haram


Para peniaga bergotong-royong membersihkan sekitar Pasar Besar Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 17 Mac – Kehadiran peniaga haram di pasar besar dekat sini, terutama tindakan mereka menjual barangan pada harga jauh lebih rendah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan peniaga berlesen.

Tindakan tersebut juga dikatakan menggugat periuk nasi peniaga di situ yang perlu menanggung pelbagai kos lain termasuk membayar sewa bulanan.

Menyedari keluhan peniaga terlibat, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kini giat menjalankan operasi pembersihan memburu peniaga haram terbabit.

Menurut Ketua Bahagian Pengurusan Pasar MBAS, Azizan Mohd. Zin, sejak Januari lepas, 15 peniaga haram di kawasan itu berjaya dikesan dan dikenakan kompaun.

“Penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil Pasar/Sehari demi membela nasib peniaga di pasar tersebut.

“Apatah lagi peniaga-peniaga tanpa lesen ini dikatakan menggugat pendapatan peniaga di situ kerana mereka sengaja menjual barang pada harga lebih rendah kerana tidak menanggung kos lain,” katanya pada majlis gotong royong bersama peniaga di pasar besar tersebut di sini hari ini.

Perasmian majlis itu yang dihadiri oleh lebih 100 peserta termasuk peniaga, kakitangan MBAS dan pekerja syarikat menguruskan sisa pepejal, E-Idaman Sdn. Bhd. itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustafa.

Menurut Azizan lagi, MBAS akan giat menjalankan operasi tersebut dari semasa ke semasa dalam usaha mengesan peniaga tanpa lesen ini.

“Ia sebagai bertindak adil kepada peniaga yang mempunyai lesen dan hasil operasi sebelum ini Pasar Besar Alor Setar ini sudah bebas daripada peniaga haram jadi kita akan giat melaksanakan operasi ini lagi,” katanya.

Menyentuh tentang program tersebut kata Azizan, ia dijalankan sebagai memupuk semangat cintakan kebersihan di kawasan berkenaan.

“Acara seperti ini akan diperluaskan ke kawasan lain iaitu yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar besar ini demi memberi keselesaan kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir turut menegur sikap peniaga yang mengabaikan kebersihan memandangkan ia amat penting demi menjaga persekitaran.

“Usaha menjaga kebersihan ini harus digembleng bersama oleh semua warga pasar ini jangan cuma memikirkan untuk menjual barang sahaja kerana apabila pasar kita bersih ia akan terus menjadi tumpuan orang ramai,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment