Tuesday, March 15, 2011

Mungkinkah ini sebabnya golongan muda tidak lagi menghormati ahli politik?

Perihal melucutkan kewarganegaraan
oleh SYAHREDZAN JOHAN
3/15/2011 3:57:04 PM

Beberapa hari lepas, secebis berita menarik perhatian saya. Media melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, mencadangkan di Parlimen supaya kerajaan mewujudkan suatu ‘Suruhanjaya Pelucutan Kerakyatan’ bagi mengambil tindakan terhadap rakyat yang mencemarkan nama baik negara.

Menurut penyata rasmi Parlimen (hansard) bertarikh 8 Mac 2011, Ibrahim Ali berkata; “Suruhanjaya Pelucutan Kerakyatan ini saya cadangkan apabila ada mana-mana pihak yang memburukkan negara lari ke luar negara, mengguna media baru memburukkan negara tidak kira dia ini kaum apa, sama ada Melayu, Cina, India, sesiapa sahaja yang sekarang ini menjadi warganegara, tetapi tidak menunjuk ketaatsetiaan dan menulis melakukan tindakan bukan-bukan yang bercanggah dengan undang-undang, maka saya percaya orang-orang seumpama ini tidak wajar menjadi rakyat Malaysia.

” Tetapi saya tidak begitu pasti cadangan yang diusulkan Ahli Parlimen tersebut bercanggah dengan Perlembagaan. Perihal kewarganegaraan termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang jelas ia tidak boleh sewenang-wenangnya dilucutkan mengikut tepukan dada dan selera sang pemerintah. Hanya Perlembagaan memberikan kewarganegaraan, dan hanya Perlembagaan memperuntukkan bagaimana ia boleh dilucutkan.

Penamatan kewarganegaraan juga terkandung dalam Perlembagaan.

Mana-mana warganegara Malaysia boleh melepaskan kewarganegaraannya secara sukarela. Dia hanya perlu membuat akuan dan mendaftarkannya dengan kerajaan.

Kerajaan Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang itu kerana telah memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing.

Di samping itu, kerajaan Persekutuan juga boleh melucutkan kewarganegaraan seseorang itu sekiranya telah secara sukarela menuntut dan menggunakan hak yang hanya diberikan untuk rakyat negara lain sahaja. Contohnya, jika di dalam sebuah negara itu hanya rakyat negara itu dibenarkan membuang undi dan seseorang rakyat Malaysia telah pergi membuang undi, maka dia mungkin boleh dilucutkan kewarganegaraannya.

Perlembagaan juga menyatakan, Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan sesiapa yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau penaturalisasian jika berpuas hati orang itu telah menunjukkan dirinya tidak taat atau tidak setia kepada negara.

Tetapi penting untuk diingatkan, ini hanya boleh dilaksanakan ke atas mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran atau penaturalisasian, bukannya mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang. Ini bermakna, bagi sebahagian besar rakyat yang menjadi warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang, kerajaan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk melucutkan kewarganegaraan mereka, kecuali di bawah peruntukan berkenaan dengan kewarganegaraan asing.

Mencemarkan nama negara, mengkritik kerajaan atau raja-raja, tidak sehaluan dengan mana-mana parti politik dan melanggar undang-undang adalah antara alasan yang sering digunakan oleh gerombolan tertentu untuk ‘mendesak’ seseorang atau sesuatu kumpulan itu dilucutkan kewarganegaraan mereka. Tetapi, bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, alasan-alasan ini bukanlah sebab yang boleh mengakibatkan mereka dilucutkan kewarganegaraan. Cadangan Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut langsung tidak berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan kerana kewarganegaraan seseorang itu tidak boleh ditentukan oleh sebuah suruhanjaya. Perihal kewarganegaraan termaktub dan diperuntukkan oleh Perlembagaan, seseorang rakyat Malaysia dijamin kewarganegaraannya oleh Perlembagaan, bukannya mengikut rasa hati golongan tertentu.

Ironis sungguh, kerana kita sering kali dengar laungan untuk ‘mempertahankan Perlembagaan’ atau lebih khusus lagi Perkara 153, iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan Peribumi Sabah dan Sarawak, tetapi perkaraperkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan tidak pula dijunjung dan dihormati.

Mungkinkah ini sebabnya golongan muda tidak lagi menghormati ahli politik?

* Penulis seorang peguam muda dan rakan kongsi sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment