Thursday, May 19, 2011

Azizan terima surat tawaran


KUALA KETIL - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan sudah menerima surat tawaran pencalonan pemilihan semalam, namun belum memutuskan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan yang dikaitkan dengannya, sama ada Timbalan atau Naib Presiden.

Katanya, surat daripada Jawatankuasa Pemilihan itu memaklumkan mengenai pencalonannya dalam pemilihan parti itu bagi merebut dua jawatan tinggi parti.

“Saya belum putuskan lagi sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan atau Naib, kenalah lihat kesesuaian berdasarkan beberapa faktor dalaman dan luaran,” katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, beliau masih mempunyai banyak masa untuk memikirkan mengenai perkara itu kerana tarikh akhir untuk menyerahkan keputusan pada Jawatankuasa Pemilihan ialah pada 26 Mei ini.

“Bila tiba masanya saya akan umumkan,” katanya.

Mengulas mengenai enam calon yang layak bertanding jawatan Timbalan Presiden, Azizan berkata, walaupun setakat kelmarin, enam calon disahkan layak merebut jawatan terbabit, namun kebiasaannya akan ada calon yang menarik diri di saat akhir.

“Calon memang ramai sekarang, nanti bila sudah hampir dengan pemilihan, pasti jumlah calon berkurangan, mungkin ada yang tarik diri atau sebagainya. Saya sendiri juga perlu lihat kemampuan saya dan kesesuaian jawatan yang ditandingi,” katanya.

Azizan berkata, yang paling penting ialah calon berkenaan mampu menjadi pembantu terbaik kepada Presiden untuk menerajui parti.

No comments:

Post a Comment