Saturday, May 21, 2011

JITRA - Empat ditahan dalam Ops Mabuk

JITRA - Seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk naik berang selepas ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini awal pagi semalam.

Lelaki terbabit antara empat yang ditahan dipercayai mabuk selepas polis menjalani pemeriksaan alkohol terhadap 25 pemandu dalam Ops Mabuk dan Had Laju di Kilometer 24.2 Lebuh Raya Utara Selatan di kedua-dua arah di sini.

Ketika ditahan, lelaki yang memandu kereta Nissan Sentra itu dikatakan tidak berpuas hati kerana mendakwa dirinya tidak mabuk dan sanggup membayar saman jika dia benar-benar mabuk.

“Saya mengaku minum arak tetapi tidak mabuk, kalau mabuk saya mengaku dan sanggup bayar berapa pun jumlah saman yang akan dikenakan,” jerit lelaki itu.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik Kontinjen Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Hock Tho berkata, dalam operasi terbabit seramai 25 pemandu menjalani pemeriksaan alkohol dan empat daripadanya ditahan kerana didapati mabuk ketika memandu.

Menurutnya, semua yang ditahan adalah mereka yang datang dari arah Changlun, Bukit Kayu Hitam yang mencatatkan bacaan paras alkohol melebihi 80mg% dan ke atas.

“Mereka yang ditahan di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu bagi menjalani pemeriksaan dan tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini, awal pagi semalam.

Operasi disertai 34 anggota dan pegawai dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah itu dijalankan selama tiga jam bermula jam 10 malam hingga 1 pagi semalam.

Dalam operasi sama, pihaknya juga telah mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan iaitu melibatkan 37 kesalahan had laju, tiada lesen memandu (lima), nombor pendaftaran (tiga), tiada cukai jalan (satu) dan tidak memakai tali pinggang keledar (satu).

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang ditahan berikutan kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk adalah tinggi.

Menurutnya, kadar kemalangan maut melibatkan kecuaian pemandu mabuk perlu dikurangkan dan operasi seperti itu akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Kita mengingatkan kepada semua pemandu supaya jangan sesekali memandu ketika dalam keadaan mabuk,” katanya.

No comments:

Post a Comment