Monday, May 23, 2011

Kompleks Tunku Yaakob akan diteruskan pembinaannya selepas masalah tanah selesai

Tergendala akibat masalah tanah


Azizan Abdul Razak (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara BDB yang diwakili oleh Mohd. Saad Endut (kiri) dan Belleview Bina Sdn. Bhd. oleh Sonny Ho Kiong Chan di Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 23 Mei – Rancangan Kerajaan Pas Kedah untuk membina Kompleks Tunku Yaakob di sini, yang sepatutnya dimulakan hujung tahun lalu masih gagal dilaksanakan akibat masalah teknikal berkaitan tanah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, projek itu bagaimanapun akan diteruskan sebaik sahaja masalah pemilikan tanah selesai.

“Surat sudah dihantar ke Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) untuk tanah itu diwartakan dan selepas ia diwartakan dijangka pada Ogos ini proses pengambilan tanah akan dimulakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembinaan dua menara kondominium mewah, Amanduri Residences di sini, hari ini.

Perjanjian itu adalah antara Bina Darulaman Berhad (BDB) yang diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Mohd. Saad Endut dan syarikat hartanah, Belleview Bina Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Sonny Ho Kiong Chan.

Kompleks tersebut yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini menempatkan pusat komersial, terbengkalai pembinaannya walaupun kerajaan negeri bercadang membangunkannya mulai tahun lalu.

Projek itu akan diadakan secara usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan pemaju iaitu Bellview Bina Sdn. Bhd.

Azizan berkata, masalah terbengkalai tersebut bukan berpunca daripada kelewatan pihak perancang tetapi masalah teknikal.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan memastikan projek tersebut berjaya disiapkan kerana ia adalah salah satu komponen pembangunan yang dirancang dibina bersama sebuah kompleks beli-belah dan satu unit hotel lima bintang selain dua blok kondominium itu.

Mengenai kondominium itu beliau berkata, pembinaannya yang menelan kos RM110 juta akan mula dilaksanakan November 2011 dan dijadual diduduki tiga tahun kemudian.

“Ia mempunyai dua menara setinggi 22 tingkat dengan 277 unit kediaman dan enam penthouse di lokasi strategik. Pembangunan tersebut bakal mengubah wajah bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu Sonny Ho berkata, kondominium itu adalah yang pertama dibina di sini dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

No comments:

Post a Comment