Tuesday, May 24, 2011

Proses ambil tanah projek Tunku Yaakob yang terbengkalai


Oleh SITI ZALEHA

ALOR SETAR – Pembangunan semula Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai selama 30 tahun, kini telah memasuki proses pengambilan tanah dan projek dijangka bermula sejurus proses tersebut selesai.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan berkata, surat pengambilan tanah telah dihantar kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk diwartakan.

“Bila kita ambil alih pentadbiran negeri, kita teruskan projek pembangunan untuk dilaksanakan, seperti kita bangunkan semula Plaza Tunku Yaakob, projek yang dijangka mula dilaksanakan penghujung tahun lepas terpaksa berhadapan beberapa kekangan.

“Ianya bukan berpunca daripada pihak perancang, tetapi beberapa masalah teknikal dan perundangan menyebabkan ianya lewat sedikit.

“Kita telah hantar surat pengambilan tanah kepada pejabat SUK untuk diwartakan dan perbincangan dengan keluarga terbabit telah diadakan, dan dijangka Ogos ini proses pengambilan dimulakan,” ujar beliau pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian usahasama pembangunan kondominium antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Belleview Bina Sdn Bhd.

Beliau turut menafi dakwaan sesetengah pihak mengatakan kerajaan negeri enggan melakukan pembangunan.

“Ada sesetengah pihak menganggap Kedah tak minat dengan pembangunan, kita akan terus laksanakan agenda yang telah dijadualkan, tetapi kita mengambil kira keperluan-keperluan rakyat dalam setiap pembangunan agar semua menikmati kesejahteraan.

“Adalah menjadi dasar kerajaan negeri memastikan semua rakyat di Kedah mempunyai rumah, ini adalah tanggungjawab semua kerajaan.

“Namun, kita juga tak halang orang-orang yang ada duit untuk buat rumah, ini kerana kita bertanggungjawab untuk pastikan semua dapat hak masing-masing,” jelas beliau yang turut memberi sokongan kepada pembinaan kondominium Amansuri Residences di bandaraya Alor Setar.

No comments:

Post a Comment