Saturday, June 25, 2011

Penafian beri gambaran UMNO terlibat

ALOR SETAR - Penafian yang dibuat Badan Perhubungan UMNO Kedah mengenai penerbitan risalah Kedah Tertipu, disifatkan sebagai kenyataan yang menggambarkan bahawa Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab mengedarkan risalah berkenaan.

Ketua Pemuda Pas kawasan Alor Setar, Mohd Azam Awang berkata, pihaknya tidak menuduh perkara itu dilakukan oleh BN dan tujuan mereka membuat laporan polis agar pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Risalah itu memaparkan logo BN malah isu yang tercatat di dalamnya adalah isu-isu yang sering digunakan oleh parti itu.

“Apabila mereka menafikannya, ia menunjukkan seolah-olah mereka yang bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, beliau hairan bagaimana risalah itu boleh sampai kepada masyarakat dan siapa yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap penerbitan risalah dalam jumlah yang besar itu.

“Jika UMNO-BN bersedia membuat laporan polis bagi membersihkan nama mereka, itu adalah lebih baik kerana terdapat penggunaan logo BN pada risalah berkenaan,” katanya.

Pas kawasan Alor Setar kelmarin, mendakwa ada sebuah parti cuba memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dengan mencetak dan mengedarkan risalah Kedah Tertipu.

Malah, ia turut membuat satu laporan polis berhubung perkara itu.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, beliau meminta orang ramai yang menemui risalah berkenaan agar dapat menyerahkannya kepada Pemuda Pas di kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment