Thursday, June 2, 2011

Pusat karaoke terkawal, tidak masuk kampung

Alor Setar, 1 Jun - Kewujudan pusat karaoke di negeri ini masih terkawal di bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan. Ia hanya dibenarkan beroperasi dalam kawasan bandar dan tidak di dalam kampung.

Demikian penjelasan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' It Phahrolrazi Zawawi mengulas isu pertambahan pusat karaoke di negeri Kedah. "Ia diwujudkan mengikut keperluan, jika terlalu banyak pusat karaoke pun mereka tak boleh hidup jika tiada permintaan," ujarnya.

Beliau tidak nampak keperluan untuk mengharamkan karaoke sepenuhnya kerana setakat ini pihak berkuasa agama tidak pernah mengeluarkan fatwa bahawa ianya haram. Ia berbeza, katanya, dengan pusat hiburan lain yang turut menjual arak.

"Dasar kita mengenai arak dan judi adalah jelas, kita tak membenarkan sama sekali kewujudan premis baru untuk jualan arak dan judi. Begitu juga orang Islam tidak dibenarkan bekerja di premis tersebut," ujarnya.

Beliau memberi jaminan untuk mengawal pusat karaoke melalui penguatkuasaan jika terdapat elemen yang menyalahi peraturan yang terdapat di pusat tersebut. Begitu juga jika wujudnya pusat karaoke haram di kampung-kampung, ianya hendaklah dilaporkan supaya dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment