
Negara dijangka akan menghadapi himpunan terbesar rakyat Malaysia pada 9 Julai nanti kerana menuntut pemulihan amalan demokrasi dalam apa yang dinamakan Bersih 2.0. Sekonyong-konyong pula tokoh kontroversi dunia demokrasi, Robert Mugabe pula diundang ke Malaysia. Apakah Najib terlepas pandang, sengaja mahu mencebik pihak pembangkang di negara ini atau memang mahu belajar sesuatu dari tokoh demokrasi tempang yang menjadi idola mereka?
Mugabe yang dilahirkan pada 21 Februari 1924, kini sudah berusia 87 tahun masih tidak menganggap dirinya terlalu tua untuk memimpin sebuah negara. Sebagai pemimpin pergerakan menentang minoriti kulit putih, dia diangkat ke persada kuasa mulai 1980 sebagai Perdana Menteri sehingga 1987. Mulai 1987 dia menaiktaraf dirinya sebagai ketua negara, bergelar Presiden yang mempunyai kuasa lebih luas.

Jika sepanjang BN berkuasa di Malaysia banyak kezaliman yang berlaku dipertahankan oleh kerajaan. Pembunuhan beramai-ramai di Memali dan konspirasi terkutuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara cacatan hitam politik Di Malaysia.
Zimbabwe juga begitu. Tentera kerajaannya mengumpulkan seluruh penduduk dari satu kampung yang dituduh menentang kerajaan, dihimpun dalam satu lubang dan dibunuh beramai-ramai.
Semua penduduk dari kampung Tshomwina dipaksa berkawad sebelum diseksa sehingga ada yang mati. Pelbagai jenis penyeksaan dikenakan terhadap penduduk bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya jangan cuba bangkit menentang kerajaan yang kononnya dipilih secara sah melalui demokrasi.

Jika di Malaysia semua pelajar IPTA dipantau dan ditekan supaya tidak terjebak dengan gerakan anti kerajaan maka di Zimbabwe ia berlaku lebih dahsyat. Pihak berkuasa telah menyeksa berpuluh pelajar universiti, termasuk memperkosa pelajar wanita hanya kerana mereka dikatakan terbabit dengan gerakan anti kerajaan.
Di Malaysia harga barangan keperluan sentiasa meningkat dengan ketara semenjak 2007 maka di bawah pemerintahan Mugabe juga begitu. Kadar inflasi Zimbabwe berdasarkan anggaran terakhir pada pertengahan 2008 mencapai 231 juta peratus dan pemerintah terpaksa mencetak wang Zimbabwe sebanyak RM10 billion.
Kongkongan media oleh parti yang memerintah dan penyalahgunaan jentera kerajaan dalam pilihanraya ‘sebijik’ seperti yang diamalkan oleh kerajaan BN di Malaysia. Penipuan dalam pilihanraya adalah perkara yang lumrah.
Sebutlah apa saja kebejatan politik yang berlaku di Zimbabwe di bawah Robert Mugabe, maka ia tidak begitu terasing di Malaysia. Sikap dan pemikiran antara kerajaan BN Malaysia dengan diktator Africa yang sudah 31 tahun berkuasa itu sama sahaja, jadi tidak hairanlah jika Najib mengundang rakannya yang sama-sama tempang dalam memacu demokrasi ke Malaysia.
Menjatuhkan musuh politik melalui tuduhan tidak bermoral berlaku pada Anwar tahun 1998. Mugabe dikatakan mendahului BN di mana pada 1995, presiden pertama Zimbabwe, Kanaan Banana didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum terhadap 11 tuduhan homoseksual (liwat) dan mencabul.
Bunga-bunga penentangan terhadap kerajaan Mugabe bermula tahun 1998, mengingatkan kita terhadap ledakan reformasi di Malaysia dan Indonesia. Mugabe melabel kumpulan yang menentang kerajaan sebagai ‘alat penjajah yang menjelma semula’. Sama seperti mana-mana diktator dunia, kaedah itu diguna untuk menyatupadukan rakyat, iaitu dengan mencanangkan ancaman dari luar. Pembangkang kononnya adalah alat bekas penjajah untuk meruntuhkan kedaulatan orang asal Afrika.
Apa bezanya dengan UMNO yang menuduh pembangkang cuba menjadi alat pihak lain untuk menghakis kuasa Melayu. Semuanya itu dimomokkan sewaktu pihak separa diktator yang sedang menunggang demokrasi dengan tempang terasa berada di penghujung kekuasaan.
Undangan Najib terhadap diktator Robert Mugabe tidak lain dari mahu mendapatkan petua bagaimana mempertahankan kerajaan tua lagi dhaif di saat gelombang kebangkitan rakyat menuntut demokrasi yang adil semakin memuncak.
Hakikatnya diktator tua Afrika dan kerajaan tua BN sedang berkongsi nasib yang sama, merintih perihal masa depan yang sungguh kelam.
(Penulis adalah Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah dan juga Timbalan YDP PAS Kawasan Alor Setar)
http://kedahla.blogspot.com
No comments:
Post a Comment