Monday, July 4, 2011

Fobia ancaman kenderaan berat - bawak laju macam pelesit

ALOR SETAR - Kehadiran kenderaan berat seperti treler, lori dan bas di jalan raya ada ketikanya mewujudkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengguna jalan raya, khususnya mereka yang memiliki kenderaan yang saiznya jauh lebih kecil daripada kenderaan berat.

Bukan sahaja pemandu kereta dan penunggang motosikal yang berasa terganggu, malah penunggang basikal dan pejalan kaki juga seolah-olah fobia apabila kenderaan besar yang adakalanya membawa muatan berat itu berada hampir dengan mereka.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, masyarakat berasa tidak selamat sewaktu berada di jalan raya, tatkala kenderaan berat itu turut menggunakan laluan yang sama.

Seorang warga emas, Ahmad Abas, 69, berkata, kehadiran kenderaan berat khususnya lori yang bersaiz besar sememangnya menyebabkan lalu lintas terganggu malah turut menjejaskan keselamatan dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Perkara yang paling ditakuti pengguna jalan raya ialah terlibat dengan kemalangan dan banyak kemalangan yang saya lihat dan dengar di media massa, terdapat banyak kes-kes kemalangan yang melibatkan lori. Ia bukan sahaja mendatangkan kecederaan malah ada pengguna jalan raya yang maut sedangkan pemandu lori tidak terjejas.

“Setiap kali dihampiri lori besar atau berada di belakang lori besar, di atas jalan raya, saya berasa kurang selamat, khususnya apabila lori itu dipandu laju.

“Lebih menakutkan, kelajuan lori itu adakala memeranjatkan saya apabila lori itu berjaya memotong deretan kenderaan yang sedang bergerak di atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, rasa kurang selesa itu menyebabkan dia berfikir alangkah baiknya jika kenderaan besar seperti itu tidak menggunakan laluan yang sama dengan kenderaan lain yang lebih kecil saiznya.

Seorang pelajar, Nurul Syahirah Mohd Saad, 18, berkata, perasaan tidak selamat sering dirasainya setiap kali keluar dari rumah dengan menunggang motosikal, khususnya pada waktu pagi.

“Boleh dikatakan hampir setiap pagi saya akan terserempak dengan lori atau bas yang turut melalui laluan yang sama sehinggakan saya lebih suka menggunakan laluan alternatif walaupun jaraknya agak jauh daripada laluan berhampiran rumah saya.

“Saya berharap agar kenderaan berat seperti lori dan bas disediakan satu jadual perjalanan yang lebih rapi agar keselamatan murid-murid dan pelajar-pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah pada waktu pagi, tidak terancam,” katanya.

Nurul Syahirah berkata, saya pernah melihat kemalangan ngeri melibatkan lori dan motosikal dan penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Peristiwa itu menyebabkan saya fobia dan lebih berhati-hati sewaktu berada di atas jalan raya,” katanya.

Ku Abd Razak Ku Saman, 47, pula berkata, sikap pemandu lori yang gemar meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan serta membawa muatan yang berlebihan juga boleh mengundang pada kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Ia menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas.

“Malah, muatan yang berlebihan seperti tanah, pasir dan batu juga turut membahayakan pengguna jalan raya, terutama sekali penunggang motosikal dan pejalan kaki,” katanya.

No comments:

Post a Comment