Monday, October 31, 2011

Isu Kemasukan Warga Israel Ke Malaysia : Menteri Belia Dan Sukan Perlu Bertanggungjawab

05 Dzu al-Hijjah 1432 / 01 November 2011

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjawab serta menjelaskan bagaimana kehadiran seorang peninju dari Israel, Ilya Grad dalam Kejohanan “The Challenger Muay Thai” yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini. Sedangkan sepatutnya tidak ada seorang rakyat Israel pun dibenarkan masuk ke dalam Malaysia sebagaimana rakyat Malaysia diharamkan masuk ke Israel.

Lebih mengejutkan apabila peninju itu sendiri mendakwa beliau masuk ke Malaysia dengan sokongan Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan diberi pas khas setelah ditahan selama 25 jam di pintu masuk antara Malaysia-Thailand. DPPM menganggap dakwaan peninju terbabit amat berat dan melibatkan penyelewengan kuasa oleh Menteri Belia dan Sukan.

Jika benar dakwaan peninju tersebut, DPPM merasa kesal kerana Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak menjaga sensitiviti serta keprihatinan umat Islam atas isu Palestin. Dalam keadaan seluruh umat Islam berang dan berduka di atas apa yang menimpa umat Islam di Palestin yang dibunuh serta dihalau dari bumi mereka sendiri, Menteri Belia dan Sukan sendiri meluluskan kemasukan warga Israel ke dalam Malaysia. Ia ibarat merobek luka ke dada umat Islam Malaysia yang tidak meredhai kezaliman berlaku di atas buminya. Bagi umat Islam, rakyat Israel adalah pencoroboh dan zalim yang telah membunuh beribu umat Islam Palestin.

DPPM melihat jawapan balas beliau yang menyatakan kerajaan Selangor telah memberi peruntukan sebanyak RM 5 juta untuk kejohanan tersebut sebagai jawapan ‘escapism’ atau melepas diri semata-mata. Kerajaan Selangor hanya meluluskan peruntukan untuk penganjuran kejohanan terbabit, sedangkan Menteri Belia dan Sukan berkuasa penuh meluluskan sesuatu kejohanan atau penglibatan mana-mana peninju dalam kejohanan tersebut. Beliau boleh mengharamkan penglibatan peserta yang bermasalah atau dari negara yang diharamkan masuk ke Malaysia seperti Israel. Mana-mana peserta yang kontroversi perlu disekat dari awal lagi agar tidak menimbulkan pertikaian.

DPPM juga meminta Menteri Belia dan Sukan bertanggungjawab sepenuhnya di atas apa yang berlaku dan mengingatkan agar beliau menjaga hati serta sensitiviti rakyat di negara ini. Jangan kerana atas semangat mahu memajukan sukan di negara ini, kedaulatan dan keharmonian negara pula tergadai!


Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment