Friday, October 14, 2011
Lega perniagaan dapat sambutan
PENDANG – Hutan lipur Sungai Rambai atau lebih dikenali Rimba Rekreasi Bukit Perak semakin menjadi pilihan, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan juga pengunjung dari kawasan luar.
Mereka mula mengetahui tempat itu selepas disiarkan dalam akhbar ini pada 6 Oktober lalu.
Tempat itu kini menjadi pilihan pengunjung untuk beriadah bersama keluarga dan secara tidak langsung perniagaan makanan dan minuman di situ turut mendapat sambutan.
Peniaga, Rokian Haman, 50, yang hampir 30 tahun berniaga berkata, dia kini gembira apabila tempat itu kini semakin dikunjungi orang ramai.
“Dengan adanya pengunjung, secara tidak langsung membantu saya memperoleh pendapatan.
“Tambahan pula selepas disiarkan dalam akhbar ini, saya lihat ramai pengunjung luar datang untuk melihat sendiri tempat ini.
“Sebelum ini tempat ini kurang dikenali ramai mungkin disebabkan tiada promosi atau lokasinya yang terletak agak pedalaman,” katanya.
Sementara itu, dia turut mencadangkan supaya laluan ke tempat itu diperbesarkan untuk memudahkan pengunjung datang.
Menurutnya, jalan yang sedia ada terlalu sempit dan sukar untuk kenderaan masuk. Selain itu, kawasan berkenaan turut dikelilingi kawasan sawah padi dan perlu dibangunkan segera untuk menarik lebih ramai pengunjung ke situ.
No comments:
Post a Comment