Friday, October 14, 2011

Majlis Daerah Kubang Pasu Tawar kompaun serendah RM5

Tawar kompaun serendah RM5

KUBANG PASU 12 Okt. - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada lebih 60,000 pemilik kenderaan untuk membayar saman kerana kesalahan trafik yang mencecah RM3 juta sejak 2008.

Ketua Penguat Kuasa Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, kegagalan melunaskan kompaun itu akan menyebabkan mereka disenarai hitam selain disekat dalam semua urusan dan kemudahan berkaitan MDKP.

"Tindakan tegas juga akan diambil termasuk merujuk perkara itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan.

"Kegagalan pemilik kenderaan menjelaskan semua saman trafik yang tertunggak sejak tiga tahun lalu memungkinkan mereka disenarai hitam dan dirujuk kepada JPJ," katanya ketika dihubungi di sini.

Sejak Rabu lalu, MDKP mengadakan Operasi Kompaun dan Kempen Beli Kupon, Satu Kenderaan Satu Kupon yang berakhir semalam.

Sempena operasi itu, MDKP turut menawarkan kompaun serendah RM5 berbanding RM50 kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan berkaitan.

Menurut Zakariya, hampir 1,000 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan meletak kenderaan di kawasan MDKP sepanjang enam hari operasi itu.

"Kaunter bergerak yang dibuka untuk memudahkan orang ramai membayar saman masing-masing akan diteruskan setiap Jumaat dan Sabtu setiap minggu bagi menjayakan operasi pemutihan bayaran kompaun RM10 sehingga 31 Oktober ini.

"Ia juga akan terus dibuka atas permintaan orang awam bermula November sehingga 2012 bagi memudahkan bayaran saman dibuat di kawasan terpilih di sekitar Jitra," katanya.

Tambahnya, operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan 65 hingga 95 peratus pengguna di daerah itu membayar caj meletak kenderaan masing-masing.

No comments:

Post a Comment