Sunday, October 23, 2011

USM-MDPT buat kajian mengenai banjir di Padang Terap

Ditulis oleh MUSLIM ABDUL RAZAK

KUALA NERANG, 23 Oktober 2011- Majlis Daerah Padang Terap dengan kerjasama Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia, membuat kajian terhadap usaha mengurangkan masalah yang sering berlaku sebelum, semasa dan selepas banjir di Kawasan Padang Terap.

Pemangku Timbalan Pengarah CGSS, Dr Salfarina Abdul Gabor, berkata, pihak CGSS bermula pada awal April 2011 lalu menjalankan kajian bertujuan untuk mengenalpasti antara isu dan faktor berkaitan golongan yang sering mengalami masalah banjir dan tindakan yang dilakukan.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan Barangan Bantuan Banjir CGSS-USM di Dewan Tunku Putra Kuala Nerang.

“Selain itu, kami juga melaksanakan program pembinaan keupayaan dalam kalangan mangsa banjir untuk mengurangkan kesengsaraan dan ketidakselesaan akibat banjir.

“Sepanjang kajian ini dijalankan, kekurangan alatan bantuan banjir adalah masalah utama mangsa banjir. Menyedari akan kekurangan alatan bantuan ketika banjir ini, pihak USM khususnya CGSS mengambil inisiatif menghulurkan barangan bantuan banjir dan dalam masa yang sama, menyediakan beberapa program yang didiktiraf seperti latihan menyelamat mangsa lemas, latihan mengendali dan menjaga bot serta kaunseling sebelum dan selepas banjir,” terangnya.

No comments:

Post a Comment