nelayan

ALOR SETAR - Kos nelayan kini dapat dikurangkan menerusi projek Pembangunan Penentuan Lokasi Ikan, yang juga projek hasil kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, seramai 50 nelayan di Kedah menggunakan sistem yang mampu mengesan kawasan berpotensi bagi menjalankan penangkapan ikan.

Menurutnya, alat yang digunakan di Korea, Jepun dan Indonesia itu mula diperkenalkan kepada nelayan di negara ini pada 2007 secara berperingkat.

“Kita menyasarkan semua nelayan, menggunakan sistem penentuan lokasi penangkapan ikan kerana ia sememangnya mampu menjimatkan kos nelayan, termasuklah dari segi makanan, minyak dan air batu.

“Penjimatan yang boleh dikurangkan hampir 30 peratus itu dapat dijadikan sebagai pendapatan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Promosi Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan, semalam.
Difahamkan, kini seramai 370 nelayan bagi pukat jerut di negara ini telah mendaftar menggunakan sistem baru yang diperkenalkan itu

Ahamad Sabki berkata, penggunaan sistem itu membolehkan nelayan mengetahui maklumat mengenai lokasi melalui laman sesawang, faks atau telefon bimbit.

Menurutnya, penggunaan alat tersebut juga membolehkan nelayan berada di laut dalam tempoh pendek lingkungan tiga ke empat hari.

Beliau berkata, nelayan yang menggunakan sistem itu juga perlu memberi maklum balas bagi memantapkan penggunaannya pada masa akan datang.

“Bagi nelayan pukat jerut yang belum mendaftar, boleh mendaftar untuk menggunakan sistem ini menerusi persatuan nelayan kawasan.

“Kita juga akan meluaskan penggunaan sistem ini kepada pukat hanyut dan lebih spesifik kepada spesies ikan tertentu, termasuklah ikan tuna, ikan selayang dan ikan bilis,” katanya.

Ahamad Sabki berkata, program sama juga akan diperluaskan ke kawasan Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.