Tuesday, March 6, 2012

Injunksi Madrasah Salihiah didengar 10 April

NURUL FATIHAH SULAINI
6 Mac 2012
Injunksi Madrasah Salihiah didengar 10 April

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar menetapkan 10 April ini sebagai tarikh pendengaran permohonan injunksi untuk menghalang tindakan meroboh Madrasah Salihiah Kanchut oleh Kerajaan Negeri.

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan Majlis Agama Islam Kedah (Maik) untuk mengetepikan saman difailkan jawatankuasa madrasah berkenaan atas alasan mahkamah itu tiada bidang kuasa berkaitan tanah wakaf.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ooi Sheow Yean menetapkan tarikh itu dalam kamarnya.Pada 5 Januari lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Madrasah, Jamludin Murad, 67, selaku plaintif memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi di sini sebagai usaha terakhir untuk menghalang bangunan berkenaan dirobohkan kerajaan.

Maik, Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar dan Kerajaan Kedah, masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Jamluddin diwakili peguam Ahmad Rusydi Md Nor, Adnan Seman dan Dorina Abdullah, defendan pertama diwakili peguam Nawal Harun manakala Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar dan Kerajaan Negeri diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Anas Ahmad Zakie.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad turut hadir memberi sokongan dan meminta semua pihak menunggu keputusan mahkamah serta tidak mengeluarkan arahan mengosongkan bangunan madrasah selagi kes belum selesai.

Sebelum ini, Jawatankuasa Madrasah Salihiah mengemukakan permohonan injunksi dan saman interim pada 5 dan 19 Januari lalu bagi menghalang proses meroboh dan pengambilalihan tanah wakaf khas Madrasah Salihiah oleh Pentadbir Tanah Kota Setar.

No comments:

Post a Comment