ALOR SETAR - Masalah kekurangan parkir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang sering dihadapi oleh pengunjung kini telah diatasi apabila tapak parkir di bahagian belakang bangunan tersebut telah disediakan.
Pengerusi Lembaga Pelawat HSB, Ramli Mohd Yunus berkata, kawasan tanah lapang yang disediakan itu mampu memuatkan hampir 300 kenderaan.
Menurutnya, tapak yang dibina bagi mengatasi masalah parkir di HSB itu mungkin tidak disedari oleh pengunjung kerana kedudukannya agak terlindung.
“Pengunjung tidak perlu bimbang dengan jumlah parkir yang disediakan kerana Persatuan Pelawat sentiasa memikirkan keselesaan dan kemudahan pengunjung.
“Ada juga segelintir pengunjung yang beranggapan kedudukan parkir berkenaan adalah jauh dari wad berbanding parkir di pintu utama, namun tanggapan itu tidak tepat kerana kedudukan parkir itu lebih dekat dengan wad,” katanya kepada Sinar Harian.
Ramli berkata, pengunjung tidak perlu bimbang dengan keselamatan kenderaan mereka yang diletakkan di kawasan itu kerana ia selamat dan dikawal oleh pengawal keselamatan.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk menambun tanah di kawasan itu bagi kemudahan pengunjung.
“Kita sedari tapak itu agak berlopak dan air bertakung terutama pada waktu hujan yang menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengunjung.
“Namun, masalah itu tidak berpanjangan kerana kita akan cuba untuk mengatasi masalah tersebut untuk memudahkan pengunjung,” katanya.
Ramli berkata, pengunjung diharapkan dapat bersabar dan memberi kerjasama berkaitan, sementara menunggu proses menyempurnakan tapak parkir berkenaan siap dilakukan.
No comments:
Post a Comment