Oleh SAFAR JUMAAT
AMBIL contoh seorang Menteri di Malaysia, cakapnya berdolakdalik. Dulu, kata Himpunan Bersih 2.0 haram, kini kata Himpunan Bersih 3.0 tidak mengganggu ketenteraman.

Ini satu contoh dari ratusan contoh lagi, bahawa rakyat perlu secara total menolak BN dalam PRU13 – bukan sahaja kerana tawaran yang mahu diberikan Pakatan Rakyat, tetapi memperbaiki kerosakan yang sudah terlalu teruk dalam sistem pemerintahan negara ini.
Bayangkan, seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, di mana polis terletak di bawah bidang kuasanya, pun bercakap berdolak-dalik hingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Apakah menteri yang membarisi kabinet hari ini tidak tahu bahawa “kata-kata mereka” akan menjadi dasar dan undangundang.
Tetapi kalau, sekali kata boleh dan sekali kata tidak, apakah undang-undang atau dasar di negara ini boleh berubah ikut cuaca?
Itulah sebabnya, rakyat kena mengikuti semua ini secara dekat. Mereka kena ubah.
Mereka kena tukar. Mereka kena memasang niat untuk tidak mahu duduk terus di bawah pemerintah yang begitu buruk, kejam dan menterinya bercakap macam mereka seorang suami yang tidak konsisten pendiriannya.
Kalau mahu disenaraikan kong-kali-kong pemimpin BN ini, ketika di hujung pemerintahannya, ia tidak cukup ruang di media. Ini kerana cerita skandal semakin bertambah.
Ada Timbalan Menteri menerima sumbangan secara terang-terangan dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi, pun tidak dianggap satu kesalahan.
Ada menteri yang dalam kes mahkamah kerana dakwaan memukul ahli perniagaan. Ada menteri yang sudah menafikan memberi RM1.5 juta kepada seorang jelitawan.
Itu belum lagi cerita seorang Menteri, ketika menjadi ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian di salah sebuah bahagian di Pahang, pernah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam pemberian tapak berniaga kepada kroni.
Dalam soal agama masih ada perkara yang boleh diperbahaskan dengan pelbagai perbezaan tetapi tidak dalam soal keselamatan.
Malangnya, di Malaysia, menteri yang bertanggungjawab dalam soal-soal keselamatan, bercakap berdolak dalik sehinggakan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Rohana Yusof terpaksa menangguhkan keputusan bagi membenarkan Bersih menganjurkan Perhimpunan Bersih 3.0.
Itulah sebabnya, apabila Pakatan menawarkan Buku Jingga kepada rakyat, sekiranya memenangi PRU13, kepimpinan BN cukup gelabah.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak terpaksa melakukan beberapa “projek gula-gula” termasuk BR1M, yang khabarnya akan diberi sekali lagi, sebelum pembubaran Parlimen.
Sebenarnya, ahli-ahli Umno sudah lama diberikan BR1M ini tetapi ia tidak disahkan seperti apa yang berlaku sekarang.
Itulah sebabnya, setiap kali ada pemilihan Umno, akan ada yang ditangkap kerana memberi dan menerima BR1M.
Cuma, jumlahnya tidak menentu. Ada yang dapat RM250 dan ada yang dapat projek berjuta-juta. Itu semuanya adalah BR1M yang sekarang sudah disahkan dari segi undang-undang kerana dimasukkan dalam pembentangan Bajet.
Najib sedar, permulaan politik wang bermula zaman bila dan siapa yang bertanding.
Pengalaman Najib yang cukup lama dalam Umno menyebabkan dia tahu, bahawa ahli Umno yang merajuk dalam tahun 2008 ketika PRU 12 diadakan, boleh dipujuk dengan janji dan harapan baru.
BR1M dan segala bentuk pemberian tunai yang dilakukan sekarang adalah menisfestasi dari apa yang Umno lakukan terhadap ahlinya selama ini, apabila sampai musim pemilihan.
Itulah sebabnya, bekas Ahli MT Umno, Tan Sri Abd Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Pengerusi MARA, Mohd Tamrin Tun Ghafar bertindak meninggalkan Umno.
Kedua-dua mereka adalah kawan rapat Najib dan Tamrin pernah sama-sama menjadi Exco Pergerakan Pemuda Umno dalam era Najib menjadi Naib Ketua Pergerakan Pemuda.
Abd Kadir pula sudah berkecimpung dalam politik secara aktif sejak era Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Razak Hussein – jauh lebih awal daripada Najib sendiri.
Kalau rakyat sedar semua ini, kekeliruan yang berlaku antara arahan Bersih 2.0 dengan Bersih 3.0 dari mulut seorang Menteri yang juga merupakan Naib Presiden Umno, dengan apa yang dilakukan Abdul Kadir dan Mohd Tamrin, membuktikan bahawa peluang tidak wajar diberikan kepada BN lagi memerintah negara ini selepas PRU13.
Nasib anak-anak cucu tidak seharusnya digadaikan kepada golongan anak-anak bangsawan yang tidak pernah mengetahui kesusahan hakiki rakyat negara ini.
Masa mereka banyak digunakan untuk menghimpun kekayaan dengan deretan kereta mewah di kediaman masing-masing, kerana mereka tidak selama-lamanya boleh membohongi rakyat.
Rakyat hanya mereka temui ketika menjelang pilihan raya tetapi selepas itu, mereka akan meneruskan kehidupan mewah yang selama ini mereka lalui.
Mana mungkin mereka tahu erti kemiskinan kerana mereka datangnya dari keluarga Perdana Menteri.
Anak tukang beca, anak penoreh getah dan anak guru sekolah terpaksa terus mengikat perut untuk menuntut ilmu kerana pembelaan BN kepada korporat besar seperti mereka yang terlibat dengan MAS dan Perwaja.
Wang PTPTN mereka gembargemburkan untuk membantu rakyat yang beribu-ribu orang tetapi dalam kes MAS, kerajaan BN membantu seorang individu dengan jumlah yang jauh lebih besar dari apa yang diberikan melalui PTPTN kepada ratusan ribu peminjam.
Mereka mendirikan pelbagai istana dengan airmata rakyat dan mereka bergelak ketawa dengan cigar yang berharga ratusan ringgit, kerana mereka tahu rakyat boleh diberikan gula-gula apabila menjelang pilihan raya.
Jangan beri lagi peluang kepada BN. Cukuplah dengan apa yang sudah dilalui selama ini. Turunkan mereka melalui demokrasi dan bersedialah dengan PR yang akan memBERSIHkan segala-galanya, setelah sekian lama pemerintahan negara ini mereka (BN) cemari.
No comments:
Post a Comment