Thursday, May 10, 2012

Pendapatan berganda sebab telus dan tolak rasuah

LANGKAWI – Kira-kira seramai 103 orang menerima bantuan am dan 50 kanak-kanak menerima sumbangan basikal dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Langkawi.

Majlis sederhana tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali mendapat sambutan baik dari masyarakat setempat selain penerima-penerima sumbangan berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan, kejayaan kerajaan negeri melipat gandakan pendapatan negeri adalah berpunca dari sistem pentadbiran yang telus dan tidak mengamalkan rasuah.

“Peningkatan hasil balak sehingga RM80 juta pada penghujung tahun 2011, menunjukkan kepada kita sistem tender terbuka membawa keuntungan kepada negeri.

“Pendapatan sedemikian bukanlah untuk kerajaan sahaja malah ianya akan dikongsi bersama rakyat terutama untuk kebajikan kepada golongan-golongan yang memerlukan,” ujarnya.


Sehubungan itu, bantuan am dinaikkan dari RM75 kepada RM150. Kedah merupakan negeri ke dua di Malaysia selepas Terangganu yang dapat menyalurkan bantuan dalam jumlah sedemikian. Beliau menambah lagi, kesempatan nikmat yang diperolehi, rakyat semestinya bersyukur kehadrat Allah dan tidak perlu sama sekali mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memastikan rakyat mendapat kebajikan yang sepatutnya. Amanah yang dipikul oleh pemimpin akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak. Itu sebablah dalam merealisasikan ‘ Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’, kebajikan rakyat menjadi agenda utama,” sambung beliau lagi.

Katanya, Kafalah, bantuan pelajar IPTA, Ladang Sejahtera, latihan kemahiran kepada ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan serta lain-lain memperlihatkan betapa kerajaan negeri mengambil berat golongan yang memerlukan untuk merasai dan berkongsi bersama kemakmuran negeri.

“Walau bagaimana pun, kita harus ingat, bantuan seumpama ini bukanlah berterusan, apabila penerima telah melepasi dari garis kemiskinan, bantuan ini akan terhenti dan kita akan memilih orang lain pula untuk menerimanya.

“Sekiranya kita sudah mampu berdikari serta mempunyai punca pendapatan yang agak baik tetapi masih lagi menerima bantuan ini, tindakan kita seolah-olah mengambil hak orang lain, sedangkan ada orang lain yang lebih memerlukan dari kita,” nasihatnya.

Beliau juga menasihati anak-anak yang berkemampuan agar tidak menyisihkan ibu bapa mereka. Anak-anak seharusnya menjadi dahan tempat ibu bapa berpaut dikala umur meningkat senja. Pihak JKM hanya mengutamakan warga tua yang tidak mempunyai tempat pergantungan atau kemampuan anak-anak yang amat terhad.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kepada hadirin antara pembangunan yang didirikan oleh kerajaan negeri di Langkawi termasuklah pembinaan hotel 3 bintang yang akan melaksanakan sistem secara Islam dan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba. Katanya lagi, pembangunan seumpama itu menunjukkan Langkawi tidak disisihkan oleh kerajaan negeri serta mengambil kira hak-hak rakyat Langkawi yang mencecah kira-kira 1003 orang.

Beliau seterusnya menyampaikan sumbangan bantuan am dan basikal kepada penerima-penerima terpilih.

Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Am dan Basikal berkenaan diadakan di Masjid Kelibang, Pekan Kuah, Langkawi. Antara yang hadir termasuklah, Pengarah JKM Negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment