Lebih menarik dan heboh lagi ialah fenomena pasca BERSIH kini disusuli dengan pelbagai lagi siri demonstrasi oleh beberapa golongan berkepentingan tertentu serta pandangan mereka yang unik. Harus dinyatakan di sini bahawa setiap demonstrasi ini ada sahaja warna merah dipaparkan. Apakah itu? Maafkan saya, tahap pemikiran kritis dan koheran saya amat cetek, anda sendiri yang interpretasikannya mengikut pemafaman anda.
Walau bagaimanapun mereka ini dilabel dan dikategorikan sebagai golongan yang suka membuat kacau, jahat, derhaka dan ingin membuat konsirasi menggulingkan kerajaan? Benarkah begitu?
Perlu dinyatakan di sini bahawa yang hadir pada hari itu juga terdiri daripada golongan profesional, eksekutif, guru, penyarah, peguam, doktor, jurutera, ahli peniaga, artisan, bijak pandai dan cendikawan. Malah ramai buruh kasar turut hadir terdiri daripada pemandu bas, lori, petani, pekerja am rendah dan lain-lain lagi hadir untuk meluahkan perasaan serta pendirian mereka terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Jadi kesemua entiti ini bersifat subversif? Bagaimana pula dengan entiti-entiti berstatus rakyat Malaysia di luar negara? Mereka menyuarakan pendirian mereka dari lebih 70 bandar daripada seluruh pelusuk muka bumi ini! Mereka juga puak pengacau? Anarkis?
Ingin juga saya bertanya di sini bahawa tidakkah 100,000 entiti yang hadir pada hari itu tidak ada kerja lain? Tidak mampu berfikir sendiri? Ataupun mereka sengaja membawa anak bini dengan berhasrat untuk beriadah sambil dipukul oleh pihak Polis? Atau mereka telah membuat perbincangan awal di rukuntetangga mereka untuk menggulingkan sebuah kereta?
Senyum dan jenaka dalam diri kita, ketika membaca wacana ini tetapi inilah hakiki realiti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap 100,000 entiti yang hadir pada hari itu. Tidak menjadi keberatan untuk saya menyatakan di sini bahawa peristiwa Duduk dan Bantah ini merupakan satu peristiwa bersejarah dalam sejarah moden tanah air, Malaysia.
Pihak berkuasa (hegemoni) dan yang mempunyai kepentingan kini sibuk menabur pelbagai andaian dan gambaran konotasi negatif terhadap tangisan serta keluhan rakyat ini. Apa sahaja cara, dihalalkan untuk berbuat demikian demi menyelar solidariti BERSIH ini dan menjatuhkannya kredibiltinya sama sekali. Malah tidak mustahil bagi kumpulan ini pada keesokan hari membuat satu pendedahan saintifik yang menyatakan bahawa menghadiri demonstrasi beramai-ramai tidak bagus untuk kesihatan mental dan fizikal serta penyelidikan ini akan diiktiraf oleh sebuah institusi politik atau pusat penyelidikan tempatan. Tidak mustahil sama sekali di bumi "boleh-land" ini.
Bagi golongan pemimpin dan berkuasa dengarlah pada seruan, keluhan serta rintihan rakyat anda sendiri. Tanpa rakyat tidak ada konsep nyata bagi negara bangsa, ataupun pemimpin. Anda perlu mengikut dan adakalanya akur kepada kehendak serta keperluan rakyat anda. Pendapat dan pandangan mereka jangan kamu perlekehkan.
Kini rakyat Malaysia tercinta sudah bersedia untuk ke arah budaya politik yang lebih matang tetapi adakah anda, golongan pemimpin bersedia dan akur kepada hakiki sosial ini? Tepuk dada dan tanya selera anda wahai pemimpin sekalian, fikir-fikirkanlah.
*Pradeeb Kumar ialah Acedemic felo, Universiti Sains Malaysia yang kini berada di Humboldt-Universität zu Berlin, Germany.
No comments:
Post a Comment