ALOR SETAR - Umat Islam mestilah melaksanakan keadilan dalam seluruh aspek kehidupan kerana ia adalah perkara yang dituntut oleh Allah SWT.
Ingatan tersebut dibuat oleh ADUN Alor Mengkudu YB Dr. Ismail Salleh ketika menyampaikan tazkiroh ringkas di Masjid Tunku Abdul Malik, Alor Binjal di hadapan para jemaah.
"Semua kita adalah pemimpin pada kedudukan kita, sama ada pemimpin masyarakat atau keluarga. Sebagai pemimpin kita kena berlaku adil kepada semua yang berada di bawah tanggungjawab kita.
"Bukan sahaja terhadap orang lain, terhadap diri kita pun kena berlaku adil. Kadang-kadang kita tidak sihat tetapi kita makan juga sesuatu yang mendatangkan mudharat kepada diri kita, itu pun dikira tak adil pada diri sendiri," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa isu keadilan mestilah diberi keutamaan dalam kehidupan kerana antara sebab Allah SWT menjadikan makhluknya ialah supaya keadilan ditegakkan.
Di majlis tersebut Dr. Ismail telah menyumbangkan 10 buah meja dan 40 buah kerusi kepada Imam Masjid Tunku Abdul Malik, Haji Zakaria Harun untuk kegunaan ahli-ahli khariah.
No comments:
Post a Comment